Pendakwaan berkaitan Jana Wibawa bukan bermotifkan politik - SPRM

PERSEPSI dimainkan pihak tertentu yang cuba mengaitkan pendakwaan beberapa individu di Mahkamah atas beberapa tuduhan berkait projek Jana Wibawa sebagai bermotifkan politik disangkal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Melalui satu kenyataan lewat petang semalam, SPRM menegaskan pendakwaan adalah berasaskan maklumat serta bukti-bukti yang diperolehi agensi ini.

Malah tegas mereka, kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

"Proses siasatan tersebut adalah bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak.

“Justeru itu, tohmahan yang mengatakan siasatan SPRM tersebut atas arahan pihak tertentu dan bermotifkan politik adalah tidak benar sama sekali serta telah menjejas imej Suruhanjaya ini,”jelas kenyataan itu.

Siasatan ke atas program Jana Wibawa menyaksikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menjadi bekas Perdana Menteri kedua diheret ke mahkamah.

SPRM semalam mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu dengan pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Muhyiddin dituduh menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 dan Ogos 2021.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama, menuduh ahli politik berusia 76 tahun itu menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram yang mana wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun parti.

SPRM dan Peguam Negara nafi tohmahan
Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun turut tampil menafikan tohmahan kononnya pendakwaan dibuat atas motif politik.


Melalui satu kenyataan Idrus menegaskan sebarang keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu adalah berdasarkan keterangan dan fakta daripada penyiasatan.

Post a Comment

0 Comments