Perdana Menteri mahu siasatan kes LCS diteruskan


PERDANA MENTERI
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan berkait penyelewengan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) diteruskan.

Bercakap di Dewan Rakyat pada Selasa, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu menegaskan pendakwaan peringkat awal sebelum ini tidak mencukupi memandangkan ia melibatkan skandal berskala besar dan ketirisan.

“Arahan saya, siasatan mesti diteruskan termasuk LCS kerana saya rasa tindakan sebelum ini tidak cukup untuk membongkar dan bertindak terhadap orang utama yang dikatakan terlibat dalam kes ini… jadi biar siasatan diteruskan,” kata beliau bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Ahmad Fadhli sebelumnya bertanyakan mengenai keseriusan kerajaan dalam mengambil tindakan terhadap tata kelola yang tidak telus termasuk LCS.

Sementara itu Ahli Parlimen Tambun itu turut membidas tohmahan segelintir pemimpin pembangkang yang mengaitkannya dengan pendakwaan tertentu.

Anwar mengulangi pendirian tidak akan campur tangan dalam sebarang kes pendakwaan di mahkamah melibatkan pemimpin tertentu termasuk mengurangkan atau mengetepikan pendakwaan termasuk membabitkan Ahli Parlimen penyokong kerajaan.

“Sebab itu ada Ketua Bahagian UMNO Shah Alam yang didakwa tetapi tidak difokus. Maknanya sesiapa sahaja yang didapati oleh SPRM dan buktinya kukuh oleh Peguam Negara harus terima kenyataan pendakwaan,” kata beliau.

Anwar tak akan lepaskan penjenayah rasuah
“Kena ingat, sebagai muslim bertanggungjawab, adakah anda yakin dan ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa. Kalau tiada itu zalim jawabnya, guna nama agama dan fitnah orang, sebut nama saya.

“Saya tidak campur tangan, boleh tanya SPRM dan Peguam Negara, malah arahan daripada saya apa pun tindakan yang dilakukan mesti berdasarkan fakta dan bukti kuat, saya sokong. Tetapi jangan aniaya, jangan ada satu alasan yang longgar yang boleh dicabar dan dipertikai,” kata Presiden KEADILAN itu.
 

Post a Comment

0 Comments