Kerajaan tak cadang mansuh HEP di Universiti Awam


KERAJAAN
tidak berhasrat untuk memansuhkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti awam, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Dipetik laporan media, Mohammad Yusof berkata, HEP memainkan peranan yang sangat penting terutamanya berhubung pembangunan mahasiswa.

Tambahnya, walaupun segala aktiviti dan pergerakan mahasiswa diuruskan oleh mahasiswa sendiri, HEP masih mempunyai mandat dan tanggungjawab lebih besar.

"Tugas hakiki mereka bukan sahaja untuk menguruskan perkara-perkara bersifat mikro sebaliknya antara lain menumpukan kepada pembangunan mahasiswa, membuka jaringan kerjasama dengan masyarakat dan industri dan merancang strategi meningkatkan kebolehpasaran graduan," kata Ahli Parlimen Lahad Datu itu.

Tiada sebarang cadangan mansuh HEP
Beliau sebelumnya menjawab usul tambahan dibawa Chow Yu Hui (HARAPAN-Raub) pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat pada Isnin yang mengemukakan usul agar HEP dimansuhkan bagi memberikan lebih autonomi kepada mahasiswa.

Menurut Mohammad Yusof, sehingga kini universiti cemerlang terkemuka dunia masih mengekalkan HEP walaupun pelajar mempunyai kebebasan penuh.

Post a Comment

0 Comments