Penganalisis yakin lawatan PM ke Filipina bawa impak


SEORANG
penganalisis politik melihat prospek hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina mampu lebih positif susulan lawatan Perdana Menteri ke republik itu.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Dr Nur Dayana Mohamed Ariffin dipetik laporan Astro Awani berkata menerusi lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bukan sekadar mampu meredakan kemelut di Selatan Filipina mengenai hubungan dengan Sabah malah membuka peluang lain termasuk dalam sektor pendidikan dan ekonomi.

"Lawatan Anwar kali ini sebagai satu peluang kita mendekatkan lagi hubungan luar, bukan setakat menyelesaikan masalah kita dengan Filipina terutama di Selatan Filipina mengenai hubungan dengan Sabah.

"Tetapi ada peluang lain kita nak balik ke normal baharu seperti e-dagang, itu satu peluang yang juga dibincangkan Anwar dan Presiden Ferdinand Marcos Jr.

"Selain itu, boleh ditambah juga hubungan pendidikan kerana Anwar baru sahaja berada di Universiti of Phillipines, satu universiti yang mempunyai reputasi sangat baik dan tertua di negara itu," jelasnya.

Selain itu jelasnya, lawatan tersebut juga bagi mengukuhkan hubungan sosial agar dapat membawa manfaat buat rakyat kedua negara.

Lawatan bawa impak positif untuk kedua negara
Dalam lawatannya, Anwar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang atau honoris causa oleh Universiti Filipina (UP).

Menurut kenyataan universiti itu, Anwar dianugerahkan ijazah kehormat berkenaan kerana menjadi sarjana dan memiliki kepakaran antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam, demokrasi serta keperluan akauntabiliti.

Ijazah kehormat itu disampaikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Tinggi Pendidikan Filipina J. Prospero E. De Vera III serta Presiden dan Pengerusi Bersama Lembaga Regen UP Angelo A. Jimenez.

Post a Comment

0 Comments