HUBUNGAN dua hala antara Malaysia dengan dunia Arab semakin diperkukuh apabila isu membabitkan kepentingan kedua-dua pihak dibincangkan secara lebih serius.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan kerjasama lebih erat dengan Arab Saudi terutama terkait isu melancarkan pelaksanaan haji dan umrah bagi rakyat Malaysia.
Perbincangan itu berlangsung dalam kunjungan hormat Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah kepada Anwar di Putrajaya.
"Hubungan rapat Malaysia dan Arab Saudi yang telah terjalin selama ini diharap akan menjadi lebih erat demi kemaslahatan rakyat Malaysia khasnya dan umat Islam amnya," kata Anwar di laman Facebooknya sebagai mengulas pertemuan itu.
Selain isu haji dan umrah, kedua-dua pihak turut dibincangkan ialah inisiatif-inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang lain termasuk pelancongan, pendidikan, pelaburan dan perdagangan.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut telah mengadakan perbincangan menerusi panggilan video bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.
![]() |
PM dikunjungi delegasi menteri dari Arab Saudi |
“Kami juga meneroka potensi perkongsian dalam industri baharu seperti pembuatan pintar dan ekonomi digital, serta membincangkan isu global yang berkepentingan termasuk keterjaminan makanan, krisis tenaga, Islamofobia dan perjuangan rakyat Palestin," kata Anwar mengulas perbincangan dengan salah satu pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, di rantau Afrika itu.