Cadangan pemimpin PAS cuma retorik?


GESAAN
Ahli Parlimen Kubang Kerian dari Perikatan Nasional (PN)  supaya pengeluar sarung tangan, Top Glove berkongsi keuntungan dengan penoreh getah bagi membantu meringankan beban mereka, dipersoal.

Biro Komunikasi KEADILAN Kemaman dalam satu kenyataan media berkata, gesaan oleh Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man itu tidak lebih sekadar mencari populariti supaya mereka dilihat cakna terhadap isu rakyat.

Mereka mempersoalkan mengapa inisiatif berkongsi keuntungan itu tidak diutarakan pemimpin Pas ketika mereka berada dalam kerajaan.

"Pada kemuncak pandemik covid 19, syarikat Top Glove mencatatkan keuntungan besar.

"Persoalannya kenapa cadangan ini tidak dibangkitkan ketika itu sedangkan Pas adalah sebahagian daripada kerajaan, di mana Menteri Perladangan dan Komoditi ketika itu adalah daripada Pas?' soal mereka.

Pada Rabu, Tuan Ibrahim melontar cadangan supaya Top Globe mencontohi tindakan Padibernas Nasional Berhad (Bernas) yang berkongsi keuntungan dengan pesawah.

Tuan Ibrahim berkata Top Glove telah mengaut keuntungan sebagai pembekal sarung tangan ke seluruh dunia susulan penularan COVID-19 sebelum ini.

Sementara itu KEADILAN Kemaman menyatakan rasa hairan apabila Tuan Ibrahim mahu inisiatif perkongsian yang diusahakan Perdana Menteri itu dicontohi sedangkan ia sebelum ini ditentang oleh penyokong-penyokong Pas.

"Sebelum ini,banyak tohmahan dan persepsi buruk telah dilemparkan oleh penyokong Pas terhadap inisiatif ini.

"Ironinya ahli parlimen Pas mengusulkan supaya Top Glove mengambil langkah yang sama seperti Bernas," tambah kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu KEADILAN Kemaman menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan permainan politik Pas yang sebenarnya tiada tekad politik untuk membela rakyat.

Gesaan itu jelas mereka hanya cubaan Pas membina persepsi kepada rakyat bahawa mereka mampu mentadbir terutama ketika pilihan raya di beberapa negeri akan diadakan tidak lama lagi.

Apa Pas buat masa dalam kerajaan?
"Ketika Pas berada di dalam kerajaan tidak nampak sebarang impak yang positif terhadap rakyat.

"Ucapan-ucapan pimpinan mereka hanyalah retorik kosong yang menunggang isu agama dan bangsa untuk mempengaruhi rakyat supaya memberi sokongan terhadap mereka," tegas kenyataan itu lagi.