ABIM sifatkan pekeliling terbaharu KPM sesuai hasrat PM

 



LANGKAH Kementerian pendidikan (KPM) mengarahkan supaya suasana ceria, mesra dan selamat diwujudkan pada minggu pertama persekolahan disambut baik Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Naib Presidennya, Zairudin Hashim melalui satu kenyataan berkata, arahan dikeluarkan melalui surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 5 Tahun 2023 itu bersesuaian dengan gagasan Malaysia Madani yang mahu dibawakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia juga selari dengan hasrat kementerian yang mahu mengangkat karamah insaniah (kemuliaan Insan) di kalangan guru dan pelajar sekolah.    

"ABIM menegaskan bahawa Reformasi pendidikan wajar bermula daripada amalan menekankan soal nilai murni bermula hari pertama persekolahan, dan diteruskan sehingga ke akhir sesi persekolahan.

"Justeru, ABIM mengajak para guru dan masyarakat untuk mengambil peluang dan ruang untuk beranjak daripada sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan kepada sistem pendidikan berorientasikan perkembangan.

"ABIM juga menyokong penekanan kepada nilai serta perpaduan, memandangkan masyarakat telah berkecamuk dengan pelbagai isu politik dan kegalauan nilai di luar pagar sekolah yang tidak berkesudahan," kata kenyataan itu.

Pekeliling Ikhtisas bertarikh 9 Mac itu mahu minggu pertama persekolahan dimanfaatkan dengan program dan aktiviti menyeronokkan.

Ia bagi menyokong murid dan guru agar bersedia sepenuhnya dalam aspek sosioemosi dan mental untuk berdepan proses pendidikan formal.


ABIM sambut baik pekeliling KPM
KPM juga menggesa pihak pentadbir sekolah memupuk nilai baik yang menjadi teras kemanjadian murid khususnya minat untuk hadir ke sekolah.


Antara yang disarankan adalah program yang komunikasi dan kerjasama antara murid, guru, ibu bapa penjaga dan komuniti selain memupuk perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum dan latar belakang sosioekonomi.

Post a Comment

0 Comments