Titah Agong mesti dijunjung semua pihak, kata Perdana Menteri


SEMUA
pihak digesa menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar kemelut politik yang berpanjangan dihentikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran di laman Facebooknya berkata, seruan Seri Paduka agar semua pihak agar menumpukan sepenuhnya kepada usaha membangkitkan semula ekonomi perlu diambil perhatian.

“Titah Tuanku agar kemelut politik yang berpanjangan mesti dihentikan dan menumpukan sepenuhnya kepada usaha membangkitkan semula ekonomi mesti dipatuhi semua pihak,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Ketika merasmikan pembukaan Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Parlimen pada Isnin, Sultan Abdullah bertitah bahawa terpahat dalam sejarah negara bahawa baginda merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri bersama empat jemaah menteri berlainan.

Baginda menyatakan harapan agar Anwar adalah Perdana Menteri terakhir sebelum baginda menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada Januari tahun depan.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sukacita dan menyambut baik permuafakatan yang dicapai dalam kalangan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan, yang selari dengan hasrat baginda untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Agong turut titah benteras ekstremisme
Dengan tertubuhnya sebuah kerajaan yang stabil menurut baginda, usaha untuk memperkuat tekad bagi menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat boleh ditumpukan.

Sementara itu, baginda juga mahu usaha ditumpukan ke arah mencapai keharmonian kaum dalam usaha membanteras ekstremisme.

Menurut baginda, semangat muhibah dan hormat-menghormati antara kaum menjadi asas kepada kestabilan di negara ini.


Post a Comment

0 Comments