Tindakan pantas KDN bendung kegusaran dapat pujian


PERHATIAN
segera diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap isu yang timbul susulan perarakan menggunakan “replika bersenjata tajam” melibatkan PAS di Setiu, Terengganu pada 17 Februari lalu dipuji.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Kemaman dalam satu kenyataan berkata, Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk dan sewajarnya sebarang bentuk provokasi dan unsur ekstrimisme yang boleh menjejaskan keharmonian ditolak.

"KEADILAN Kemaman memuji tindakan pantas pihak KDN yang segera bertindak balas atas kegusaran masyarakat yang timbul berhubung isu perarakan ini.

"Sebarang bentuk ekstrimisme tidak boleh dibiarkan subur di negara ini.Justeru itu KEADILAN Kemaman menyeru segenap masyarakat berpegang teguh kepada asas rukun negara dan juga perpaduan di negara ini," tegas mereka dalam satu kenyataan media.

Pada Ahad, warganet mempersoal tindakan peserta perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) yang mengenakan pakaian imej pahlawan bersenjata yang seolah-olah mahu berperang.

Acara itu itu dikongsikan di media sosial dalam bentuk klip video dengan latar belakang nasyid dalam bahasa Arab yang jelas menekankan tema peperangan.

Berdepan kritikan hebat, pemimpin-pemimpin PAS kemudian mempertahan perarakan itu dengan menyamakannya dengan acara cosplay, perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Pahlawan serta persembahan opera.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam kenyataan semalam  menegaskan apa jua tindakan yang meluahkan semangat dengan diselangi dengan simbol ketenteraan amatlah tidak wajar, apatah lagi ketika suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan pilihan raya negeri semakin memuncak.

“Umum mengetahui bahawa negara sedang berhadapan dengan cabaran suasana politik 3R (kaum, agama dan raja) yang masih belum reda sejak pilihan raya umum ke-15 lalu.

“Ini menuntut semua pihak agar menjadi lebih sensitif dan bertanggungjawab terhadap sebarang elemen yang boleh ‘memanaskan’ keadaan,” katanya.

Semua pihak digesa kekal keharmonian
Saifuddin juga memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru-hara.

“Tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, KEADILAN Kemaman menyeru semua pihak untuk berganding bahu menolak sebarang bentuk fahaman esktrimis demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara.

Post a Comment

0 Comments