Tiada halangan untuk peniaga guna jenama 'Menu Rahmah' - Menteri


KERAJAAN
amat menggalakkan dan mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menyediakan pelbagai jenis makanan menggunakan jenama Menu Rahmah asalkan memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat yang memerlukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,  Datuk Seri Salahuddin Ayub walau bagaimanapun meminta peniaga agar menjaga kualiti, cita rasa dan kuantiti makanan yang dijual kepada umum, khususnya golongan yang memerlukan sesuai dengan matlamat kerajaan meringankan beban hidup rakyat.

“Saya tidak melihat ini sebagai eksploitasi dengan menggunakan jenama ‘Rahmah’ asalkan mereka menyediakan makanan dan minuman yang menyelerakan dengan harga serendah RM5.

"Saya ada nampak peniaga menyediakan menu Durian Rahmah dengan membungkus beberapa ulas durian dan dijual pada harga RM5.

“Ia nanti bukan sekadar menu, mungkin ada pula jual buah-buahan Rahmah, sayur Rahmah dan bila bulan puasa nanti ada pula bazar dan kuih Rahmah. Idea sendiri rakyat ini membuktikan mereka peka menyantuni rakyat yang memerlukan,” kata Ahli Parlimen Pulai itu.

Salahuddin sebelumnya melancarkan Menu Rahmah di Samballana Bistro, Bandar Dato’ Onn, di Johor Bahru pada Sabtu.

Beliau sementara itu memaklumkan ada rangkaian restoran makanan segera turut memberi respon positif terhadap Inisiatif yang diperkenal kerajaan itu.

Bagi tujuan itu jelasnya, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama pihak itu pada minggu depan bagi kesediaan mereka menyediakan Menu Rahmah.

“Restoran makanan segera seperti KFC dan McDonald’s antara yang berminat menyediakan Menu Rahmah. Mereka mempunyai idea dan proaktif dalam menyediakan menu serendah RM5. Kementerian juga akan mengadakan sesi libat urus persatuan makanan kedai-kedai kaum Cina yang turut berminat menyediakan Menu Rahmah,” katanya.

Inisiatif Menu Rahmah akan diperluaskan
Salahuddin turut memberitahu, kementeriannya dan Kementerian Pengajian Tinggi juga akan melancarkan Menu Rahmah di 20 kafe institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sekitar Lembah Klang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menurutnya, langkah itu sebagai permulaan sebelum program tersebut akan diperluaskan ke IPTA lain di seluruh negara serta di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institusi lain.

Post a Comment

0 Comments