LANGKAH pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengurangan elaun pembangunan Ahli Parlimen dianggap sebagai satu langkah tepat bagi mengawal kewangan negara.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata pembaharuan yang akan dilaksanakan itu sangat bertepatan dengan situasi ekonomi dunia ketika ini.
Ia terutama ketika kerajaan sedang berusaha memperkasa kembali pendapatan rakyat yang terkesan akibat Pendemik COVID-19.
"Datuk Seri Anwar ada sebab beliau kata nak potong peruntukan ini supaya boleh disalurkan kepada 'targeted group' seperti sekolah-sekolah yang daif, kawasan-kawasan yang betul perlu kemudahan asas.
"Biarlah duit itu dipantau perbelanjaannya di tempat yang munasabah, yang di perlukan, itulah kebijaksanaan Datuk Seri Anwar, masa kita tak ada duit perlu lebih jimat," katanya ketika hadir meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Tiong Hwa di Kuala Terengganu semalam.
Perdana Menteri, pada Jumaat mengesahkan terdapat pengurangan elaun pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.
Jelasnya pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
Bagaimanapun tambah Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu, kerajaan akan mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan tambahan sekiranya terdapat keperluan mendesak di kawasan Parlimen, seperti membaik pulih infrastruktur di kawasan terlibat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil menegaskan pengurangan peruntukan itu tidak wajar menjadi penghalang untuk wakil rakyat memberikan perkhidmatan terbaik.
Perbelanjaan mesti dikawal elak ketirisan |
"Dalam keadaan ekonomi dan kekangan kewangan yang ada ini, setiap ahli parlimen perlu mengambil tanggungjawab supaya dapat menyantuni warga setempat di kawasan mereka.
"Apa yang penting pastikan kebajikan rakyat itu sentiasa terbela," katanya.
0 Comments