PM gesa pihak swasta jayakan program TVET

 


PIHAK swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dicadangkan menjalin kerjasama bagi mempergiat program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memenuhi keperluan industri serta menyelesaikan sebahagian masalah seperti mismatch (salah padan).

Kerjasama itu juga menurutnya mampu menangani isu latihan yang tidak diperlukan oleh industri serta mengatasi isu kemudahan latihan yang tidak memuaskan.

"Saya mengusulkan supaya ada langkah segera, kita ada kajian dan jawatankuasa untuk mempastikan anak-anak dilatih dan mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang munasabah," katanya.

Mengulas lanjut cadangan itu, Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan mencadangkan Petronas bekerjasama dengan institusi latihan TVET di Pengerang, Johor bagi melatih, mengurus dan menggunakan kepakaran yang memenuhi keperluan Petronas.

Manakala DRB-Hicom mengadakan jalinan kerjasama dalam bidang automobil, kumpulan Sunway dan Berjaya untuk latihan perhotelan, pelancongan serta perkhidmatan umum.

Selain itu beliau turut mencadangkan syarikat perniagaan dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mengambil sebahagian TVET atau institut latihan sesuai dengan latihan kepakaran yang boleh dikongsikan.

"Jawatankuasa Kabinet berkaitan TVET akan mengambil langkah-langkah tambahan termasuk mengenal pasti syarikat swasta yang boleh membantu usaha kerajaan.

Pihak swasta digesa ambil bahagian
"Ini satu keputusan yang besar dan kita minta tindakan diambil segera dan selainnya kita akan jelaskan dalam belanjawan (semakan semula Belanjawan 2023) pada 24 Feb ini," kata Anwar yang juga adalah Menteri Kewangan.
 
Beliau sementara itu turut berkata usaha memperkasakan TVET juga melibatkan pelbagai kementerian dan jabatan antaranya Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan GIATMARA.

Post a Comment

0 Comments