MENTERI EKONOMI, Mohd Rafizi Ramli memberi amaran bahawa pengeluaran sekali lagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya akan mengundang masalah kepada jaringan keselamatan sosial pencarum.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mengambil pendekatan popular dengan membenarkan pengeluaran caruman itu. namun kesan sampingan dari keputusan itu akan memberi kesan panjang bukan sahaja kepada pencarum tetapi juga kepada ekonomi negara.
"Itu pendirian kita sekarang. Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan bahawa rakyat ada jaringan keselamatan sosial yang baik," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara di Putrajaya pada Rabu.
Sebelum ini ada desakan dari sesetengah pihak yang mahu kerajaan memberi kebenaran agar wang caruman dalam KWSP dikeluarkan.
Walau bagaimanapun, kerajaan mengambil pendirian untuk tidak membenarkan pengeluarannya bagi memastikan masa depan persaraan pencarum akan lebih terjamin.
Menurut Perdana Menteri, mekanisme lain yang lebih bersesuaian akan dirangka bagi membantu golongan yang benar-benar memerlukan agar impak kewangan pencarum ketika bersara nanti tidak akan terjejas.
KWSP sebelum ini mendedahkan pengeluaran RM145 bilion oleh 8.1 juta ahlinya menerusi empat siri kemudahan pengeluaran ketika pandemik COVID-19 menyebabkan pengurus dana persaraan itu 'terlepas' peluang mengembangkan aktiviti pelaburannya.
Empat kemudahan pengeluaran KWSP yang dibenarkan kepada pencarum dalam tempoh pandemik ialah i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas.
Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein dipetik laporan media pada akhir bulan lalu mendedahkan seramai 5.1 juta atau 76 peratus pencarum bumiputera yang berumur bawah 55 tahun dikenal pasti mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada hujung tahun 2022.
![]() |
Jangan gali 'lubang' untuk sulitkan usia tua |
"Jika pengeluaran dibenarkan sama ada bersasar atau sebaliknya, ia boleh diibaratkan seperti menggali 'lubang' pada usia 50, 55 dan 60 tahun," kata Rafizi ketika menyentuh perkara itu.
0 Comments