SEORANG pemimpin KEADILAN mencabar PAS membuktikan dakwaan bahawa parti itu ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh pihak dalam kerajaan perpaduan.
Lee Chean Chung yang juga merupakan Pengarah Komunikasi berkata, Dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berhubung tawaran jika menyertai kerajaan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dianggap dibuat-buat.
Lebih dari itu ia hanya mengambarkan perasaan tidak puas hati terhadap keabsahan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang sudah dibuktikan dalam Dewan Rakyat.
“PAS boleh kemukakan bukti sekiranya ada,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi bukan sahaja mendakwa Pas ditawarkan jawatan dalam kerajaan, malah mendakwa “pihak yang membuat tawaran” sanggup mengeluarkan kos untuk membayar PAS bagi menampung perbelanjaan pilihan raya.
Dakwaan itu dibuat dihadapan penyokong PAS di Himpunan Pemuda Islam Terengganu 2023 pada Jumaat lalu.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut berkata "Banyaklah broker-broker, daripada dalam negara dan luar negara termasuk yang bertaraf menteri luar negara, datang jumpa, bukan saja duta. Pelbagai kalangan.” katanya dalam ucapan yang turut dimuat naik di Facebook.
Sebagai rekod, pada 22 November lalu Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mendedahkan Yang di-Pertuan Agong mencadangkan gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata dia menolak cadangan itu kerana yakin mempunyai cukup sokongan Ahli Dewan.
![]() |
Abdul Hadi dicabar beri bukti atas dakwaannya |
Sehubungan itu, Chean Chung menasihati Abdul Hadi dan PAS suapaya menerima keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan penubuhan kerajaan perpaduan hari ini.
“Ada yang masih tidak puas hati, biasalah manusia. Nak politik, bolehlah,” katanya dipetik.
0 Comments