Menteri arah CSM siasat kebocoran data Mysejahtera

 


CYBER SECURITY MALAYSIA (CSM) telah diarah menjalankan siasatan dakwaan maklumat pengguna aplikasi MySejahtera dimuat turun oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tindakan lanjut akan dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas mendapat laporan lengkap siasatan CSM.
 
“Berkenaan isu (ketirisan maklumat) MySejahtera… saya sudah minta CSM siasat, meneliti dan memahami siapa yang sebenarnya telah mengakses akaun 'Super Admin' bagi aplikasi MySejahtera.

“Dipercayai jumlah data (peribadi) yang sangat banyak mungkin telah dibawa keluar,” katanya ketika sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Dewan Rakyat.

Fahmi turut berkata, SKMM akan membuat kenyataan selepas laporan itu disiapkan.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendedahkan terdapat 1.12 juta cubaan memecah masuk aplikasi MySejahtera dengan kira-kira tiga juta maklumat pengguna aplikasi itu dilapor  diakses secara mencurigakan daripada akaun 'Super Admin'.

Laporan itu juga menyatakan Minit Mesyuarat Keselamatan MySejahtera Bil 1 Tahun 2022 mengesahkan cubaan serangan siber dilakukan daripada nombor IP yang sama.

Susulan itu, pihak pembekal perkhidmatan bernombor pendaftaran 700674-U telah bertindak menyahaktif IP terbabit dan tahap keselamatan aplikasi dipertingkatkan dengan pemasangan Web Application Firewall (WAF) dan pemantauan berterusan oleh syarikat berkenaan.

Lindungi data adalah tanggungjawab semua
Sehubungan itu tambah Fahmi, terdapat keperluan untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP) pada waktu ini berikutan berlakunya banyak kes ketirisan data peribadi.

“Insya-Allah apabila KKD membawa (usul) meminda akta itu (APDP), saya amat berharap semua Ahli-ahli Yang Berhormat untuk bersama-sama mengukuhkan perlindungan data peribadi di negara ini,” katanya.

Beliau sementara itu mengingatkan bahawa tanggungjawab melindungi data peribadi bukan hanya dipikul KKD, sebaliknya ia turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi.

Post a Comment

0 Comments