Kuala Lumpur jadi bandar hijau menjelang 2030 - PM



KERAJAAN Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyasarkan untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai bandar pintar dan hijau menjelang 2030.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang mampan selari dengan konsep Malaysia Madani yang dibawakan pentadbirannya.

"Jabatan Wilayah Persekutuan merangka agenda pembangunan untuk masa depan secara mampan, berdaya huni dan pintar," jelas Anwar ketika sembah Ucapan Menjunjung Kasih sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara pada Rabu

Antara langkah yang diambil adalah dengan meningkat usaha menangani banjir dengan melaksana pelan mitigasi banjir dengan lebih gigih selain memperkenal perkhidmatan bas elektrik di Wangsa Maju yang dipilih sebagai bandar perintih kepada program rendah karbon di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri turut mengumumkan usaha penambahan pemasangan CCTV (kamera litar tertutup) di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi meningkatkan tahap keselamatan penduduk di kedua-dua wilayah itu.

"Patik amat meyakini bahawa Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi akan terus bergerak sederap sebagai satu jentera pasukan perkhidmatan awam untuk mentadbir dan mengurus kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan.

Putrajaya dan Labuan akan turut dimajukan
"...patik bertekad memastikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ditadbir dan diterajui dengan sebaiknya agar manfaat kemakmuran dan keamanan dinikmati rakyat jelata yang rencam kaum dan budaya," katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan rancangan pemasangan Wi-Fi di projek perumahan rakyat dan perumahan awam di Labuan bagi memastikan penduduknya tidak ketinggalan dari arus kemajuan digital.


Post a Comment

0 Comments