KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap hal berkaitan pengurusan sekolah terutama yang boleh mengugat perpaduan kaum dan agama.
Pendirian itu dinyatakan KPM dalam satu kenyataan sebagai mengulas video sidang media yang tular di Facebook pada 8 Februari 2023 berkaitan dakwaan guru meminta murid menukar agama.
“KPM mendapatkan maklum balas awal daripada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berhubung kenyataan video tular tersebut.
"Siasatan awal dijalankan segera bagi mendapatkan kesahihan maklumat,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, pihak kementerian memandang serius kepada isu yang dilaporkan. Mereka turut menegaskan hal agama dan kaum tidak boleh dijadikan persendaan.
Justeru tegas mereka, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan persendaan tersebut.
"Pada masa yang sama, KPM juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya terdapat laporan polis dibuat mengenai isu tersebut," tambah kenyataan tersebut.
Pada Rabu sebuah portal berita melaporkan, seorang guru didakwa menggalakkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Kuala Lumpur untuk memeluk Islam.
Galakan itu dibuat dengan dakwaan ia akan meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.
![]() |
Jangan jadikan agama dan kaum sebagai sendaan |
Difahamkan mereka telah membuat laporan polis berhubung isu itu dan meminta agar Kementerian Pendidikan menyiasat guru berkenaan.
0 Comments