Kerjasama erat M'sia - Thailand bawa manfaat bersama

 


MALAYSIA dan Thailand dapat mengambil manfaat dari kerjasama erat antara dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap dalam Majlis Minum Petang bersama Diaspora Malaysia di Thailand, Perdana Menteri berkata, negara jiran itu mempunyai kelebihan dalam bidang keselamatan makanan, teknologi maklumat dan pengangkutan yang boleh dimanfaatkan Malaysia.

Justeru Malaysia berminat meningkatkan hubungan bilateral bagi mempelajari kemajuan negara jiran itu.

"Thailand mempunyai bidang-bidang tersebut, termasuk keselamatan makanan. Malaysia lebih cemerlang dalam sektor getah dan sawit. Bagaimanapun, dalam isu makanan, umumnya kita ketinggalan, itu penting.

"Beberapa bidang lain iaitu teknologi maklumat (IT), pengangkutan, tenaga, Thailand lebih ke hadapan. Meningkatkan hubungan dua hala dengan Thailand akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.  

"Menteri-menteri dan Timbalan Menteri yang lain dalam perjalanan singkat ini, mesej jelas bahawa kita akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan hubungan itu adalah cemerlang dan menggunakannya untuk kepentingan rakyat kita sendiri, dari segi keselamatan, mata pencarian, perdagangan, pelaburan, aktiviti bersama, usaha bersama dalam perniagaan dan perdagangan.

"Tetapi ia harus melangkaui ekonomi dan keselamatan kepada budaya dan pendidikan, begitu banyak persamaan, cabaran yang kita hadapi bersama", katanya.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand bagi memenuhi undangan Jeneral  Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand.

Beliau dan deligasi diberikan sambutan permaidani merah ketika tiba di Government House sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara Malaysia dan Thailand dimainkan, sebelum Anwar kemudiannya diiringi Prayuth bagi memeriksa barisan kawalan kehormat.

Pertemuan antara Anwar dan Prayut akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk membincangkan isu-isu dan kerjasama dua hala yang berkepentingan bersama disamping meneroka peluang-peluang kerjasama yang baru bagi memperkasakan jalinan hubungan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan pertukaran empat Memorandum Persefahaman (MoU) memberi peluang kepada kedua-dua buah negara untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital yang menjadi kepentingan bersama.

Sementara itu, Prayut dalam ucapannya berkata Thailand dan Malaysia bersungguh-sungguh mewujudkan hubungan antara Zon Ekonomi Khas (SEZ) di Wilayah Sempadan Selatan Thailand dan negeri-negeri utara Malaysia.

Banyak perkara boleh dipelajari kedua-dua negara
Jelas beliau, ia bagi menggalakkan lagi pelaburan jangka panjang, pembangunan ekonomi serta sosial bagi penduduk di sempadan, serta meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.

Dalam masa sama, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bekerja rapat dalam meningkatkan urusan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.



Post a Comment

0 Comments