KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bakal mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi membolehkan lebih banyak insentif cukai ditawarkan kepada penganjur dan penaja korporat acara sukan.
Menteri KBS, Hannah Yeoh, menyatakan hasrat itu setelah mendengar pandangan pemain industri pada sesi dialog awam di Petaling Jaya pada Selasa.
“Saya akan bincang dengan Kementerian Kewangan kerana apabila bajet (untuk penganjuran sukan) semakin berkurangan, dan kita tak bagi insentif yang membebaskan penganjur untuk dapatkan penaja sendiri, jika tak buat sesuatu, industri sukan akan mati,” katanya.
Beliau mensasarkan perbincangan dapat dilakukan segera sebelum pembentangan Bajet 2023, yang dijadualkan pada 24 Feb depan.
Dalam sidang media sama beliau turut mahu menangani isu permit yang dianggap menyukarkan proses penganjuran sesuatu acara sukan serta ketidakselarasan syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan berhubung operasi fasiliti sukan.
Beliau memberi contoh bagaimana fi pelesenan dikenakan secara tidak seimbang, kerana ia tidak berdasarkan jenis industri.
“Satu contoh, pengiraan fi pelesenan ikut kaki persegi. Jika dibandingkan gim dengan syarikat tembakau (yang berkeluasan lebih kecil), syarikat tembakau bayar (fi pelesenan) lebih murah.
“Jadi, sudah tiada insentif untuk promosikan gaya hidup sihat,” katanya.
Justeru jelasnya, mulai Februari akan datang Kementeriannya akan menganjurkan “hari terbuka pusat sehenti” setiap bulan.
KBS berusaha kurangkan karenah birokrasi |
“Program sebegini untuk menyenangkan semua, dan ini adalah mandat oleh perdana menteri agar rakyat tidak dibebankan oleh SOP yang banyak,” katanya.
0 Comments