Malaysia komited tangani jurang kritikal kecemasan kesihatan



MALAYSIA komited untuk menyumbang ke arah meningkatkan kesejahteraan kesihatan rakyat di peringkat tempatan dan global.

Komitmen itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa melalui satu kenyataan yang dikongsikan di laman Facebooknya selepas menandatangani perjanjian Malaysia sebagai negara hos Pusat Perkhidmatan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva.

"Pemeteraian Perjanjian Negara Hos Pusat Perkhidmatan Global WHO akan menetapkan penanda aras untuk meningkatkan daya saing, meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menarik pelaburan asing dan meningkatkan keterlihatan Malaysia di persada antarabangsa.

"Di samping itu, usaha ini meningkatkan peluang untuk bekerjasama dengan organisasi atau institusi penyelidikan dan pembangunan di peringkat antarabangsa," kata beliau yang baru dilantik sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif pertubuhan dunia itu.

Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sikijang sedang berada di Geneva untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-152 sehingga 7 Febuari ini.

Semalam Zaliha ketika menyampaikan ucapan sulungnya pada mesyuarat itu berkata, Malaysia akan bekerjasama dengan pihak lain bagi menangani jurang kritikal yang kekal dalam pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan kesihatan.

Ia termasuk mengukuhkan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) dan potensi pindaan di samping sumbang saran pada mesyuarat Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB).

Dr Zaliha dilantik Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif 
“Malaysia percaya bahawa sasaran pindaan yang dicadangkan akan meningkatkan lagi keselamatan kesihatan global berkenaan dengan prinsip ekuiti, akauntabiliti dan ketelusan serta proses kedaulatan negara anggota.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pencegahan, Kesediaan dan Tindak Balas Kecemasan Kesihatan (SCHEPPR), Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan ahli-ahli,” katanya.

Post a Comment

0 Comments