Eloklah Azmin bersara terus dari politik - Razeef Rakimin


PENGUMUMAN Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali untuk berehat daripada arena politik dianggap sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Razeef Rakimin melalui satu kenyataan menegaskan Mohamed Azmin masih merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dan beliau seharusnya meneruskan khidmat sehingga tamat tempoh penggal.

"Tindakan Azmin jelas menunjukkan beliau seorang wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab terhadap pengundi dan penduduk di kawasan beliau.

"Saya yakin walaupun beliau berehat dan tidak berkhidmat kepada rakyat, Azmin masih menerima elaun sebagai ADUN Bukit Antarabangsa.

"Adakah pemimpin Perikatan Nasional (PN) memang suka 'makan gaji buta' seperti beberapa duta khas yang dilantik tanpa fungsi era pentadbiran PN dahulu?" soalnya.

Pada Ahad, Azmin yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan hasrat berehat sebentar daripada arena politik dan mahu membuat perancangan baharu.
 
Bagaimanapun menerusi ciapan di laman Twitter miliknya, berkata beliau akan terus bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Sementara itu dalam kenyataan sama Razeef berpandangan, Azmin memutuskan untuk berehat susulan rasa kecewa setelah dikalahkan anak didiknya Datuk Seri Amirudin Shari di Parlimen Gombak pada PRU15 lalu.

Kredibiliti Azmin dianggap sudah rosak
"Saya ingin memberitahu Azmin, apa yang beliau lalui hari ini adalah kerana khianat yang dilakukan kepada KEADILAN, Pakatan Harapan dan juga rakyat yang sebelum ini memberikan amanah selaku wakil rakyat Gombak.

"Saya juga ingin menasihatkan Azmin jika ingin berehat, maka berehatlah dari pada berpolitik untuk selama-lamanya memandangkan kredibiliti telah rosak dan tidak mungkin rakyat akan memberikan kepercayaan kepada pengkhianat walau berkali 'reset' politik," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments