Pinjam kepakaran HDB: Menteri jawab tuduhan pemimpin PN

 


MENTERI Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menafikan tuduhan bahawa langkah kerajaan menjalin kerjasama dengan pakar dari Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura adalah bertujuan untuk mengisi kelemahan penjawat awam di Malaysia.

Tegas beliau, penjawat awam di kementeriannya sentiasa memberikan khidmat terbaik dalam melahirkan pelbagai dasar, program dan pelan untuk perumahan rakyat di negara ini.

Usaha menjemput pakar luar termasuk Singapura dalam sesi seminar dan bengkel jelasnya adalah bagi mendapatkan ilmu dan pengetahuan serta berkongsi kepakaran dalam bidang perumahan.

Ia selaras usaha untuk memastikan Malaysia dapat bergerak ke hadapan dan relevan dengan perkembangan semasa.

"Tuduhan sesetengah pihak berkepentingan politik adalah tidak benar dan berniat jahat.

"Jelas sekali tuduhan ini adalah satu tindakan provokasi yang berbaur hasutan.

"Tidak salah untuk kita menambah baik dasar sedia ada berdasarkan best practices supaya polisi yang dirangka lebih komprehensif dan praktikal dilaksanakan mengikut acuan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa penglibatan Malaysia dengan HDB Singapura dimulakan sejak tahun 2015.

Terdahulu Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Faiz Na'aman mendakwa tindakan kerajaan  berkongsi kepakaran idengan pakar dari HDB boleh mengancam kedaulatan negara, manakala Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan pula memberi amaran bahawa nasib Bumiputera akan berisiko jika model HDB dilaksanakan.

Walau bagaimanapun bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad kemudian menempelak tuduhan yang cuba dilempar pemimpin pembangkang terhadap usaha kerajaan itu.

Raja Kamarul yang merupakan arkitek terkemuka menyifatkan model perumahan HDB sesuai dan praktikal untuk diguna pakai di negara ini berdasarkan segi profil etnik, cuaca, dan sistem pembinaan diguna pakai.

Beliau turut percaya banyak boleh dipelajari Malaysia dari HDB bagi memanfaatkan rakyat.

Golongan kurang berada bakal dapat manfaat
"Golongan kurang berada, yang kebanyakan orang Melayu, akan mendapat manfaat daripada sistem perumahan yang bermutu, jika pengajaran daripada HDB Singapura dilaksanakan di Malaysia.

“Apakah usaha bawah kerajaan PN sebelum ini bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini?  

“Jangan lah kerana menteri bukan seorang Melayu, dan Singapura majoritinya bukan Melayu, pihak pembangkang bersangka buruk dan menuduh melulu.”katanya.

Post a Comment

0 Comments