Pemimpin Sabah puji keperihatinan PM kepada Malaysia Timur



PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukkan RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana sempadan di Sabah dan Sarawak baru-baru ini disifatkan satu langkah awal yang dapat memberi kesan positif kepada kedua-dua buah negeri berkenaan.

Selain itu, ia turut membuktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan memastikan semua rakyat mendapat akses setara baik dari segi dana dan pertumbuhan infrastruktur, ekonomi dan sosial, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif.

“Peruntukan RM1 billion ini merupakan langkah awal yang tepat dan dijangka dapat memberi implikasi positif kepada perkembangan ekonomi serta sosial masyarakat Sabah dan Sarawak dalam masa yang singkat.

“Usaha itu dapat memperkukuhkan lagi keselamatan rakyat kita di kawasan-kawasan sepanjang sempadan Malaysia dan Kalimantan yang bakal menjadi ibu kota baharu Indonesia,” katanya dalam kenyataan.

Semasa lawatan kerja ke Sarawak minggu lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan peruntukan tambahan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Kelulusan itu jelasnya dibuat susulan perbincangan beliau dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini berhubung perpindahan ibu kota negara itu ke Nusantara, Kalimantan, yang berkongsi sempadan dengan kedua-dua wilayah Malaysia itu.

Norazlinah ketika mengulas lanjut isu sempadan itu berkata, pembangunan pusat pentadbiran baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan turut akan merancakkan ekonomi di pinggir sempadan Sabah dan Sarawak, namun turut akan membawa risiko ekonomi serta sosial.

“Penyeludupan haram, pemerdagangan manusia, serta pelbagai lagi ancaman yang turut hadir dengan pembangunan ekonomi yang pesat adalah amat dikhuatiri memberi kesan negatif terhadap masyarakat setempat.

“Justeru, infrastruktur persempadanan yang efisien dan berkesan hasil daripada peruntukan naiktaraf RM1 billion ini dapat menyumbang untuk mengawal risiko berkenaan,” katanya.

Kesungguhan PM mentadbir negara diakui ramai
Dalam pada itu, beliau turut memuji langkah Persekutuan yang bersetuju menaikkan kadar pemberian khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan daripada RM16 juta kepada RM300 juta setahun dan usaha untuk mewartakan Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah.

Ini jelasnya telah menguatkan lagi persepsi dan sokongan rakyat di kedua-dua negeri terhadap ideologi pentadbiran Malaysia Madani yang mahu dibawakan pentadbiran Anwar.

Post a Comment

0 Comments