Ops Terjah berjaya stabilkan belakang dan harga barang


OPERASI TERJAH (Op Terjah) yang dilaksanakan selama sebulan sejak 16 Disember lepas telah berjaya menstabilkan masalah gangguan ke atas rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan pada Khamis berkata. sepanjang pelaksanaanya, anggota penguat kuasa telah ditugaskan di lokasi-lokasi strategik yang menjadi tumpuan pengguna membeli barangan keperluan harian.

Anggota tanpa pakaian seragam telah ditugaskan melihat situasi sebenar bekalan dan harga barang, manakala sebanyak 21,830 premis peringkat runcit di seluruh negara telah diperiksa sepanjang operasi itu.
 
“Strategi melalui Op Samar iaitu keberadaan anggota penguat kuasa KPDN tanpa pakaian seragam dilakukan bagi melihat situasi sebenar bekalan dan harga barang.

“Ia membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil ke atas aduan pengguna selain tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Salahuddin berkata secara keseluruhan, pihak KPDN mendapati berlaku masalah kekurangan bekalan telur ayam gred A, B dan C di beberapa negeri, namun bekalan telah diterima semula dalam tempoh kurang tiga hari berbanding situasi biasa.
 
Operasi dijalankan juga mendapati tiada premis runcit dilaporkan mengalami gangguan bekalan ayam berbanding 93 premis yang dilaporkan berdepan masalan itu pada dua minggu pertama pelaksanaan Op Terjah di seluruh negara.

"Isu bekalan gula dan tepung gandum juga dilihat tidak kritikal sepanjang tempoh pelaksanaan operasi ini. Namun, kementerian tetap mengambil tindakan dengan membantu peringkat runcit dalam mempercepatkan proses pengedaran bekalan daripada peringkat kilang kepada pemborong.

"Bagi menangani isu kekurangan bekalan minyak masak peket, pihak kementerian telah mengenal pembekal minyak masak paket dan mewujudkan kerjasama berterusan bersama pihak pembungkus minyak masak bagi menyegerakan penghantaran bekalan, penambahan bekalan minyak masak botol di pasaran juga sedikit sebanyak telah mengurangkan mpak kepada pengguna," katanya dalam kenyataan empat muka surat itu.

Ahli Parlimen Pulai itu juga berkata, sepanjang operasi yang dijalankan secara berhemah dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran agar peniaga mematuhi undang-undang, pihak KPDN turut mengadakan sesi libat urus di semua peringkat rantaian bekalan serta pemegang taruh bagi membantu melancarkan pengedaran.

"KPDN mendapat maklum balas dan sambutan yang baik daripada orang ramai.

"Pendekatan secara holistik dengan jalinan kerjasama dan penambahbaikan yang dilaksana secara bersama kementerian, jabatan dan agensi berkaitan antara faktor isu gangguan bekalan dapat diatasi segera," tambahnya lagi.

Pengguna disaran beri maklumat jika ada salah laku
Sementara itu beliau turut menggesa pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga memainkan peranan dengan menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-2794317 atau 019-8488000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; dan Ez ADU KPDN.

Pengguna juga jelasnya boleh menghubungi Bilik Gerakan Penguatkuasaan di talian 03-882 6088 / 6245.

Post a Comment

0 Comments