Kerjasama digital Malaysia - Singapura dipertingkat


MALAYSIA
akan bekerjasama dengan Singapura bagi menyediakan ‘ASEAN Cross Border Data Flow Mechanism Under Asean Framework of Digital Data Governance’ (Mekanisme Aliran Data Rentas Sempadan ASEAN di bawah Rangka Kerja Tadbir Urus Data Digital ASEAN).

Fahmi Fadzil yang merupakan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) berkata, kerjasama dengan bertukar maklumat mengenai isu-isu penting itu diharap dapat menangani ‘scam’ (aktiviti penipuan) atau isu kecurian data rentas sempadan.

Selain usaha itu jelasnya, kedua-dua negara akan mempertingkat kerjasama dalam isu keselamatan siber dengan bertukar-tukar maklumat analisa, pengalaman dan panduan hasil daripada serangan siber dan insiden-insiden melibatkan keselamatan siber.

“Kita lihat sekarang ini ‘threat actors’ (pelaku serangan siber) hampir setiap minggu berusaha untuk membolos pengkalan data tetapi isunya...kita masih tidak mengenal pasti mereka ada di mana.

"Ini antara perkara yang kita akan tingkatkan dalam kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya ketika ditemui media di The Istana Singapura pada Isnin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sebelumnya hadir ke majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital antara Malaysia-Singapura.

Dalam perkembangan sama beliau turut memaklumkan Malaysia berhasrat untuk bertukar maklumat mengenai amalan digitalisasi, piawaian yang boleh dikendalikan (interoperable standards) dan teknologi baharu yang dapat memberi manfaat kepada Malaysia daripada republik itu.

Termasuk usaha tangani isu keselamatan siber
KKD juga jelasnya akan bersama-sama meningkatkan, mempromosi serta menyokong usaha untuk meningkatkan e-dagang serta ekonomi digital antara kedua-dua negara.

“Kita mahu pelajari apa yang dicapai terutama daripada segi kawal selia di Singapura dan kita berharap hubungan Singapura dan Malaysia akan lebih rapat dan erat menerusinya,” katanya.

Post a Comment

0 Comments