Ulang fitnah terhadap Anwar, bukti Mahiaddin terdesak - Juwairiya


SETIAUSAHA Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli membidas tuduhan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima RM15 juta semasa menjadi Penasihat Ekonomi negeri Selangor.

Melalui satu kenyataan, Juwairiya berkata tuduhan dilemparkan Mahiaddin Md Yassin ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Padang Serai itu sekadar pengulangan fitnah dan hanya mengaburi fikiran rakyat.

“Perkara itu telah dinafikan berulang kali termasuk dalam jawapan rasmi Menteri Besar ketika itu Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

ADUN Bukit Melawati itu turut menegaskan semasa tempoh Anwar menjadi penasihat ekonomi Selangor, beliau hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun. Perkara itu jelasnya tertera dalam Hansard DUN Selangor menerusi jawapan kepada soalan oleh ADUN.

Malah Anwar turut tidak menerima sebarang bayaran elaun atau keistimewaan selain gaji RM1 tersebut.

Mengulas lanjut tuduhan Mahiaddin itu Juwairiya berkata, ia hanya menunjukkan keterdesakan dan kemuflisan modal politik PN dalam usaha kempen mereka setelah gagal membentuk kerajaan persekutuan.

Mahiaddin ulang fitnah lama terhadap Anwar
“Tindakan menabur fitnah serta dakwaan palsu bagi mengaburi fikiran rakyat ini sangat tidak bertanggungjawab dan jelas terkeluar dari nadi politik Melayu-Islam yang selalu mereka dendangkan.

“Saya percaya di pihak perdana menteri wajar mengambil tindakan selanjutnya bagi menghalang pengulangan fitnah ini terus dijaja oleh mereka yang bankrap akhlak dan etika dalam berpolitik,” katanya.

Post a Comment

0 Comments