KKM tingkat kesiapsiagaan susulan peningkatan kes Covid-19 di China


KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian akibat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu susulan peningkatan mendadak penyakit itu yang dilaporkan di China ketika ini.

Antara langkah akan diambil KKM adalah dengan  meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan dan kematian.

"KKM menggesa agar semua individu yang layak, tampil untuk mendapatkan vaksin dos penggalak supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan optimum terhadap penyakit Covid-19," katanya dalam kenyataan,

KKM juga turut akan mengukuhkan pengurusan Covid-19 menerusi pendigitalan pengurusan kesihatan dengan menambah baik pendekatan Find, Test, Trace, Isolate, and Support (FTTIS) yang diautomasikan.

Melalui pendekatan itu, individu yang menjalani ujian pengesanan Covid-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian ke aplikasi MySejahtera selain melakukan ujian di fasiliti kesihatan. Keputusan ujian akan dikemas kini dalam aplikasi tersebut dengan kes positif diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian secara digital.

Kementerian juga akan memastikan semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bersedia menerima kedatangan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit positif dengan fungsi pengoperasian CAC meliputi mengenal pasti pesakit memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah serta menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan.

Seterusnya, CAC juga akan memulakan rawatan Paxlovid (nirmatrelvir atau ritonavir) kepada kumpulan pesakit Covid-19 berisiko tinggi, mengenal pasti dan menyelaras pesakit perlu dirujuk ke hospital serta membuat penilaian dan pelepasan kepada kes positif telah tamat tempoh pengasingan.

Wilayah perindustrian besar Zhejiang berhampiran Shanghai, China dilapor sedang bergelut dengan kira-kira sejuta jangkitan baharu COVID-19 setiap hari.

Jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata kerajaan wilayah itu pada Ahad.

Walaupun terdapat peningkatan rekod kes di seluruh China, tiada kematian COVID-19 dilaporkan di tanah besar selama lima hari hingga Sabtu lalu, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China,
 
Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, KKM juga sudah memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid ke Covid-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April lepas untuk merawat pesakit mengalami gejala ringan hingga sederhana atau kategori dua dan tiga dengan mengutamakan pesakit berisiko tinggi.

KKM tingkatkan tahap kesiapsiagaan
Penggunaan ubat dan rawatan itu sudah diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta dan diberikan kepada pesakit secara percuma namun masih tertakluk kepada caj perkhidmatan rundingan berkaitan.

KKM melalui kenyataan itu turut menasihati orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat bagi menghindari jangkitan Covid-19 dan penyakit berjangkit lain, selain perlu mengamalkan TRIIS dan memakai pelitup muka di kawasan sesak. 

 

Post a Comment

0 Comments