Polis siasat pesuruhjaya PAS Perak susulan fitnah LGBT


POLIS PERAK
dilapor telah membuka kertas siasatan terhadap Pesuruhjaya PAS negeri itu, Razman Zakaria yang didakwa telah mencemarkan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan kempen berbaur fitnah jahat.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berumur 32 tahun berkaitan rakaman yang tular sejak Ahad lepas mengenai calon N11 PN berceramah didapati mengandungi unsur fitnah dan berniat jahat serta ditujukan kepada kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN),” katanya dalam kenyataan.

Razman yang dipertaruhkan Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol didakwa membuat tuduhan jahat itu ketika berceramah menggunakan mikrofon di kawasan pasar awam yang kemudian video itu ditularkan.

Antara dakwaan Razman adalah  HARAPAN membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ke negara ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dakwanya mahu menghalalkan perkahwinan sejenis, sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas pengundian, 19 Nov.

Razman yang pernah beberapa kali kalah dalam saman fitnah turut mendakwa mendakwa DAP membawa agenda komunis.

Dakwaan dibuat Razman itu dikecam banyak pihak. Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, calon bertanding seharusnya fokus kepada isu-isu rakyat seperti ekonomi, harga barang dan kemiskinan, bukannya fitnah serta adu domba yang mencemar keharmonian parti dan rakyat.

Calon HARAPAN bagi Parlimen Bagan Serai, Siti Aishah Shaik Ismail pula mempersoalkan apakah fitnah sudah menjadi asas kepada kempen oleh PN memandangkan mereka sudah habis modal menghadapi pilihan raya.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perak turut mengkritik Razman dengan menegaskan bahawa fitnah jahat yang dilemparkan itu boleh mengugat keharmonian rakyat di negara ini.

Timbalan Ketuanya, Ashraf Kahasani berkata, dengan apa yang dilakukan calon PN itu, pengundi sewajarnya sudah boleh menilai kepada siapa harapan boleh diletakkan untuk mentadbir negara ini.

Fitnah mampu gugat keharmonian negara
"Di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ini, kita lihat mereka (PN) memang menggunakan strategi ini untuk mendapatkan undi dari kaum Melayu dan menghasut orang Melayu luar bandar menyokong mereka dengan meletakkan Pakatan Harapan sebagai sasaran utama.

"Kempen-kempen calon sepatutnya tertumpu soal permasalahan rakyat seperti mana yang dilakukan Anwar dalam ceramah-ceramah sepanjang tempoh kempen," tegasnya selepas membuat laporan terhadap Razman di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ipoh semalam.


Post a Comment

0 Comments