PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sekali lagi menyatakan pendiran menyokong penuh Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Pengarah pilihan raya parti itu, Amira Aisya Abd Aziz melalui hantaran di laman Facebook semalam berkata, dukungan itu menjadi salah satu ketetapan yang dipersetujui bersama dalam mesyuarat pada 29 Oktober lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, dua lagi ketetapan adalah tiadanya pertindihan kerusi dengan rakan komponen HARAPAN yang lain dan parti itu dibenarkan menggunakan logo sendiri dalam PRU15.
“Ketetapan pakatan pilihan raya ini juga dibuat dengan hati yang suci dan sudah dimuktamadkan. Siri mesyuarat dan rundingan dibuat dengan adil dengan penyertaan kedua-dua belah pihak.
“Saya, pimpinan dan seluruh ahli parti akan memastikan komitmen ini dipatuhi dan dipenuhi oleh kami. Pimpinan HARAPAN juga pastinya akan memenuhi ketetapan bersama ini,” ujarnya dalam hantaran itu semalam.
Terdahulu, Pengerusi Muda Perak Mutalib Uthman membangkitkan kontroversi apabila mengumumkan untuk bertanding di di Parlimen Tapah disandang Timbalan Presiden MIC M Saravanan dengan majoriti 614 undi.
Kenyataan Mutalib berhubung pencalonannya segera dinafikan kepimpinan Muda yang menyatakan parti itu komited untuk mengelakkan sebarang pertembungan dengan HARAPAN.
Mutalib kemudian mengakui kesalahannya dan akur bahawa kerusi itu akan ditandingi KEADILAN.
Dalam perkembangan lain, Pemuda Pakatan HARAPAN Pulau Pinang menuntut Muda menggunakan logo gabungan itu untuk calonnnya di parlimen Kepala Batas.
"Tiada alasan jika PRU15 kali ini parti Muda tidak menggunakan lambang logo HARAPAN walaupun parti tersebut belum diterima secara rasmi disebabkan isu teknikal.
"Sebagai menunjukkan keikhlasan dan bekerjasama sebagai satu pasukan, kami sekali lagi ingin tegaskan agar pihak Muda Pulau Pinang menggunakan hak fleksibiliti supaya gunakan logo HARAPAN bersama di kawasan parlimen Kepala Batas," kata .
Sementara itu Amira Aisya ketika mengulas saranan itu menyatakan bahawa pihaknya sedia bertemu kembali dengan pimpinan HARAPAN bagi membincangkan mengenai isu penggunaan logo dan ketetapan-ketetapan lain yang bakal dicapai.
![]() |
Muda sedia bincang isu penggunaan logo |
“Semoga Muda-Harapan menerima sokongan penuh rakyat Malaysia di dalam PRU15 ini, Amin,” tambahnya.
0 Comments