PENGARAH pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli menjelaskan justifikasi partinya menamakan pemimpin Parti Amanah untuk bertanding atas tiket KEADILAN pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
Rafizi dipetik laporan Malaysiakini berkata, tindakan memberi laluan kepada bekas naib presiden Amanah Husam Musa dan Nik Omar Nik Aziz bukan isu kerana kedua-dua mereka adalah ahli parti dalam gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) sendiri.
Tambahnya, disebabkan hubungan kerja erat jangka panjang antara parti-parti dalam gabungan itu, mempunyai fleksibiliti untuk menggunakan aset kolektif masing-masing dalam gabungan itu bagi meraih keputusan terbaik dalam pilihan raya.
“Tugas kami dalam kepimpinan tertinggi dalam KEADILAN dan HARAPAN ialah bagaimana menggunakan aset masing-masing dan kolektif sebaik mungkin untuk membawa keputusan (kami mahu).
"Ini bermakna kami boleh menggunakan dan mendapatkan lebih banyak sokongan kerana kami mempunyai lebih fleksibiliti dalam tatabentuk (configuration) pilihan raya kami," kata Timbalan Presiden KEADILAN itu seperti dilapor.
KEADILAN baru-baru ini menamakan Husam Musa sebagai calon HARAPAN mewakili KEADILAN di Kerusi Parlimen Pasir Mas yang diperuntukkan kepada mereka.
Manakala Nik Omar anak kepada Allahyarham mursyidul am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menjadi calon parti itu bagi Pasir Salak di Perak.
Sementara itu tambah Rafizi di pihak Amanah sendiri memberi telah memberi ruang untuk KEADILAN memikirkan cara terbaik untuk meletakkan kedua-dua tokoh itu.
“Apa yang kita perlukan adalah untuk menunjukkan keterangkuman, kepelbagaian, dan daya tarikan kepada segmen masyarakat yang berbeza.
"(Ia juga) untuk dapat meyakinkan pengundi bahawa kita datang dalam bentuk dan saiz yang berbeza.
“Bahawa kita mungkin berbeza dengan pengikut masing-masing tetapi kita semua berpegang kepada hala tuju asas yang sama tentang cara menjadikan sesuatu lebih baik untuk rakyat Malaysia biasa,” katanya.
Pandangan serupa turut disuarakan Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas merasmikan Seminar Penghargaan Allamah Dr Yusof Al Qaradhawi dan Perjuangan Nahdah Umat: Aspirasi Membina Masa Depan Malaysia anjuran Wadah Kecerdasan Umat Malaysia (WADAH), di Bangi minggu lalu.
Kata pencalonan dua tokoh itu tidak menjadi isu kerana mereka bakal bertanding di kerusi diperuntukkan kepada KEADILAN.
![]() |
Nik Omar dan Husam aset penting HARAPAN |
"Husam pula sahabat akrab dan anak murid Tuan Guru Nik Aziz, jadi (ditempatkan) di Pasir Mas," katanya.
0 Comments