Beritahu apa rancangan PAS, jangan nerakakan pengundi - Rafizi


PARTI Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan ucapan takfiri Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dalam ceramah.

Timbalan Presiden parti itu, Rafizi Ramli berkata, laporan itu akan dibuat dalam masa terdekat bertujuan memberi peringatan supaya mana-mana parti tidak menggunakan agama bagi tujuan politik.

"Dalam beberapa hari lagi, saya akan buat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebab kita tak boleh biarkan orang macam ini.

"Dia ingat dia hasut orang, ugut orang guna agama untuk menakutkan orang Melayu. Dia ingat dia akan terlepas dari undang-undang," katanya ketika berucap di Ceramah Mega Ayuh Malaysia di Bukit Gambir.

Beberapa hari lalu, tular rakaman video memaparkan Mohd Shahiful  mengeluarkan hukum sesiapa mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.

Susulan penyebaran video berdurasi 28 saat itu, beliau menerima kritikan daripada pelbagai pihak.

Mohd Shahiful dalam satu kenyataan kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu 'undi BN dan HARAPAN masuk neraka' dan turut memohon dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan persaingan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
 
Pada Sabtu, Parti AMANAH negeri Kedah memfailkan laporan dan menggesa pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Mohd Shahiful.

Pemangku Pengerusi Amanah Kedah Dr Ismail Salleh ketika ditemui pemberita berkata, budaya politik takfiri diamalkan pemimpin PAS itu yang menggunakan sentimen agama, syurga dan neraka untuk menakut-nakutkan penggundi tidak boleh dibiarkan.

Lewat petang Sabtu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Nor mengingatkan semua calon dan penceramah yang berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya tidak keterlaluan sehingga melanggar tatasusila dan nilai murni.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan ucapan serius berkaitan keimanan dan kekufuran seseorang Muslim, terutama apabila dikaitkan dengan syurga dan neraka kerana penentuannya adalah hak milik Allah SWT.

"Sebagai manusia, tak boleh menghukum atau buat keputusan terhadap seseorang yang hanya dilihat pada zahirnya. Jika didapati zahirnya seseorang itu bersolat, berpuasa, baca al-Quran atau lakukan kerja taat pada perintah agama, kita katakan dia Muslim dan sudah tentu beriman.

"Namun, kalau kita lihat dia lakukan perkara yang jelas seperti dari segi perbuatan atau percakapan termasuk menyembah berhala, itu menyekutukan Allah SWT, jelas dia melakukan kekufuran.

"Setakat punya pandangan berbeza mengenai politik dan agama, kita tidak boleh sewenang-wenangnya katakan dia masuk neraka," katanya dipetik.

Apakah PAS sebenarnya tak ada idea?
Sementara itu Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya KEADILAN mengingatkan PAS supaya tidak membuat sebarang provokasi menggunakan sentimen agama dan perkauman.

"Lain kali kalau nak masuk pilihan raya, cakap dengan pengundi, macam mana nak bantu pengundi, beritahu mereka apa perancangan PAS untuk orang Melayu, Cina dan India.

"Janganlah guna agama kata orang itu masuk neraka, orang ini kafir, undi tak masuk syurga," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments