Adakan pengundian di Padang Serai diteruskan atau tangguh?


TIMBUL tanda tanya mengenai proses pengundian bagi Kerusi Parlimen Padang Serai selepas calon Pakatan Harapan (HARAPAN) M Karupaiya, meninggal dunia kerana serangan jantung semalam.

Perkara 6 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) menyatakan sekiranya calon meninggal dunia atau hilang kelayakan "sebelum mengundi", maka pilihan raya di kerusi itu mesti dibatalkan dan pengundian baru mesti diadakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, dalam kes Padang Serai - pengundian awal telah pun berlangsung pada Selasa yang menyebabkan kekeliruan bagaimana untuk menafsir peraturan itu.

Ia sama ada pengundian dikira bermula pada Sabtu ini, atau pengundian dianggap bermula pada hari pengundian awal.

Dipetik laporan media, beberapa pihak cenderung melihat SPR akan buat menetapkan tarikh baharu bagi pengundian di kerusi tersebut.

"Saya fikir pengundian bermula pada hari pengundian (19 Nov). Jika kita mengambil pengundian awal pada 15 Nov (sebagai permulaan pengundian), maka kita perlu menganggap (pengundian bermula dengan) pengundi pos tentera yang mengundi pada 7 Nov, hanya dua hari selepas hari penamaan calon," kata Pengerusi Bersih Thomas Fann dipetik laporan Malaysiakini.

Pandangan sama turut dikongsikan hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram yang berpandangan proses mengundi akan ditangguhkan, dan calon baharu akan dinamakan bagi menggantikan Karupaiya.

"Tetapi orang yang telah dicalonkan dan masih hidup tidak perlu dicalonkan semula. Tetapi penamaan baru untuk menggantikan calon yang meninggal dunia mesti dibuat," katanya.

SPR akan buat pengumuman rasmi
Cenderung dengan pandangan bahawa penagguhan akan dibuat adalah Penganalisis Pilihan Raya, Dr G Manimaran.

Difahamkan juga sekiranya penagguhan dibuat bagi Parlimen Padang Serai pada 19 November ini, ambang untuk majoriti mudah bagi mana-mana gabungan membentuk kerajaan akan dikurangkan daripada 112 kepada 111.

Ini memandangkan hanya 221 kerusi akan diisi di Parlimen, bukannya 222.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan ringkasnya berhubung kematian Karupaiya berkata, mereka akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting urusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.





 

Post a Comment

0 Comments