M Karupaiya meninggal ketika berjuang tegakkan keadilan


CALON Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya meninggal dunia pada pukul 2.27 petang ini di Hospital Kulim.

Berita kematian Karupaiya disahkan beberapa pemimpin tertinggi parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) antaranya Pengarah Komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil dan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kedah, Datuk Johari Abdul

Menurut Johari, Karupaiya dimasukkan ke hospital beberapa hari lepas akibat muntah dan penat setelah dipercayai mengalami pendarahan pada bahagian perut.

Karupaiya yang hadir ketika Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim turun berkempen di Kulim dan Padang Serai pada 14 November lalu rebah ketika beredar meninggalkan majlis.

“Namun sebentar tadi, beliau dilaporkan meninggal dunia di hospital dengan perkara itu disahkan anak lelakinya,” kata Johari.

Pada PRU14, Karupaiya memperolehi 31,724 undi mengatasi calon PAS, Muhamad Sobri Osman yang mendapat 22,911 undi dan Datuk Dr. Leong Yong Kong daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 15,449 undi.
 
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail sementara itu berkata, jasa mendiang kepada penduduk Padang Serai dan kepada warga ATM terutama veteran akan senantiasa dikenang.

"Mewakili seluruh keluarga besar KEADILAN dan HARAPAN, saya merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang. Pemergian mendiang satu kehilangan besar kepada parti dan perjuangan.

"Mendiang meninggal dunia dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Semangat ini akan diteruskan pejuang KEADILAN dan HARAPAN pada PRU-15," katanya.

Untuk rekod, Karupaiya merupakan bekas Pegawai Waran 1, Angkatan Tentera Malaysia dan juga ketua Cabang KEADILAN Padang Serai.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran Facebooknya petang tadi turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarg Karupaiya.

"Sedih tatkala menerima khabar calon Harapan M Karupaiya telah meninggal dunia sebentar tadi akibat serangan jantung.

"Saya bertemu mendiang pada pada 14 November lalu sewaktu program ceramah umum di Kulim.

"Karupaiya yang saya kenal adalah seorang yang komited kepada amanah sebagai ahli Parlimen dan juga mempunyai rekod yang cemerlang semasa berkhidmat sebagai Pegawai Waran 1 Angkatan Tentera Malaysia," katanya yang mengganggap mendiang juga konsisten dalam menyuarakan suara dan rintihan veteran tentera di Parlimen.

Berita kematian Karupaiya turut menarik perhatian calon MIC, C Sivaraaajh yang menyifatkannya sebagai kerugian besar untuk penduduk kawasan itu.

 Karupaiya disegani rakan dan lawan


"Karupaiya adalah bekas tentera yang telah mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk perkhidmatan awam dan politik.


"MIC dan BN terkejut dengan berita ini. Ini adalah satu kerugian besar yang tidak dijangka oleh pengundi di Padang Serai," katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengeluarkan kenyataan berhubung status pengundian di Parlimen Bagan Seri susulan kematian calon pilihan raya itu.

Post a Comment

0 Comments