PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya pemimpin negara memberi penekanan terhadap tadbir urus yang cekap bagi mengelakkan dana negara lesap.
Bercakap pada majlis pelancaran buku Script: For A Better Malaysia minggu lalu, Ketua Pembangkang itu berkata, rangka kerja teoretikal perlu diterjemahkan ke dalam rangka kerja dasar yang betul sebelum diikuti dengan pelan tindakan bagi mencapai matlamat berkenaan.
"Tetapi jika anda komited untuk melaksanakan dasar atau memperkenalkan program tertentu, tanpa rangka kerja falsafah yang luas ini, kita akan gagal.
"Kita telah gagal sejak beberapa dekad yang lalu. Kita seolah-olah bergelut dan tertanya-tanya, apa untungnya kita sebagai sebuah negara, sebagai rakyat Malaysia.
"Saya merujuk di sini, tentang keperluan untuk AI (kecerdasan buatan) dan pendigitalan. Ya, kerajaan sedang berusaha keras untuk 5G, saya tidak menolaknya dari segi prinsip, tetapi di manakah ketelusannya?
"Adakah anda memerlukan 4G atau 5G? Dalam masa enam bulan, adakah kita akan mempunyai 6G? Ini perlu dibincangkan, jika tidak, motif utama ialah... bagaimana anda boleh mengabaikan dan membazir berbilion-bilion, atas nama teknologi baharu.
"Itulah kebimbangan saya," katanya.
Anwar turut mengkritik kelemahan kerajaan bertindak dalam isu-isu kritikal termasuk berkaitan ekonomi yang menurutnya tidak ditangani dengan cara betul.
"Di sini kita mempunyai pemimpin yang berulang kali, menegaskan bahawa tidak ada masalah. Ringgit jatuh tetapi tidak seteruk pound atau yuan.
"Kita ada masalah dan masalah itu bertambah kerana ia diabaikan. Anda (perlu) mulakan dengan mengakui, ya, kita mempunyai masalah... bukan sahaja wang ringgit, tetapi juga kemiskinan yang semakin meningkat, ketaksamaan yang semakin meningkat... isu iklim, isu migrasi, pengangguran.
"Saya ada pengalaman sebagai Menteri Kewangan, agak lama, lapan tahun. Jadi apabila anda mengalami krisis, anda harus segera bertindak, cari penyelesaian... dan anda memberitahu orang ramai bahawa kita mempunyai masalah, anda tidak boleh menolaknya seperti yang berlaku hari ini," tegasnya.
Anwar sebelum ini pernah mengkritik Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai bukan seorang menteri kewangan yang bertanggungjawab.
BACA: Anwar sifatkan Zafrul menteri kewangan tak bertanggungjawab
Bekas tokoh korporat dalam bidang perbankan itu jelasnya. apabila dilontar soalan sering memberi jawapan yang tidak sepatutnya disampaikan oleh mana-mana menteri kewangan yang bertanggungjawab.
Dalam mengelakkan dana negara dilesapkan, Anwar turut menekankan isu salah guna dasar yang sering dilakukan golongan tertentu bagi memperkayakan kroni mereka yang akhirnya menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kesannya.
"Saya menyokong Dasar Ekonomi Baru. Saya tidak menyesal katakannya, kerana ia adalah tuntutan buat masa itu dan kejayaan separanya adalah mobiliti sosial.
![]() |
Dana kerajaan bukan untuk kayakan kroni |
"Tetapi kegagalannya adalah penyalahgunaan dasar. Anda memperkayakan golongan elit politik, anak-anak anda, keluarga anda.
"Yang paling penting adalah saya fikir, hampir tanpa pengecualian, semua pemimpin penting utama di negara ini semuanya telah memperkayakan diri mereka melebihi apa yang dianggap munasabah," dakwanya lagi.
0 Comments