Wakil rakyat KEADILAN buat simulasi hadapi bencana banjir

 


KETIKA Umno menggesa supaya pilihan raya diadakan termasuk ketika musim monsun, wakil rakyat KEADILAN dilapor menjalani latihan berdepan situasi banjir.

Dipetik laporan Sinar, wakil rakyat dari Pulau Pinang, Perlis dan Kedah itu mengadakan latihan berkayak sebagai sebahagian daripada program simulasi bencana pada Ahad.

"Alhamdulillah, setelah mendapat panduan dan maklum balas Tuan Hairuddin, Ketua Zon 3, wakil-wakil rakyat KEADILAN mewakili Pulau Pinang, Perlis dan Kedah selesai praktis berkayak.

"Dilaporkan di Kuala Mengkuang, Permatang Pauh hari ini tidak ada seorang pun ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau ahli Parlimen Keadilan yang tenggelam ketika latihan," kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar di Facebook secara berseloroh.

Sejak beberapa minggu lalu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dikritik setelah berkata pihaknya sanggup meredah banjir untuk berkempen jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan tahun ini termasuk ketika banjir.

Banyak pihak mempersoal kenyataan itu sambil menegaskan bahawa semua pihak berdepan kesukaran sekiranya pilihan raya diadakan ketika banjir.

Ada kalangan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan motif sebenar kenyataan ahli parlimen Bagan Datuk itu yang mahu PRU segera diadakan.

Sementara itu, Nurul Izzah dalam hantaran sama menegaskan, sejak awal kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri digesa menumpukan persediaan menghadapi bencana.

"Bermula dengan perbahasan tentang siap siaga bencana banjir, musim tengkujuh dan darurat iklim di Parlimen tahun lalu, disambung dengan mesyuarat Jawatankuasa Bencana dan program simulasi banjir.

 Wakil rakyat perlu siap siaga bantu rakyat
"Kita usahakan pemberian aset yang dipinta oleh Polis Diraja Malaysia, bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sementara mereka menunggu kelulusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).  

"Malangnya, Umno terus membelakangkan keselamatan rakyat dan memaksa agar pilihan raya diadakan segera. Kita sibuk hadapi bencana, mereka sibuk desak pilihan raya. Apapun, kita terus berkhidmat, Insya-ALLAH," katanya.

Post a Comment

0 Comments