Adakah Najib masih terima elaun Ahli Parlimen?


SEORANG Ahli Parlimen mempersoalkan apakah Najib Razak masih menerima elaun Ahli Parlimen Pekan walaupun dia kini sedang menjalani hukuman di penjara 12 tahun atas sabitan jenayah.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer melontar soalan itu susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun sebelum ini bahawa Najib secara am-nya, boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat di bawah jagaan (custody) jika mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara.

“Tan Sri Speaker telah membuat pengumuman bahawa Pekan akan dibenarkan hadir sidang Dewan.

"Ketika itu beberapa pengumuman dibuat, tapi tiada sebarang pengumuman berkenaan sama ada beliau masih menerima elaun sebagai wakil rakyat.

“Persoalan saya adakah elaun beliau sebagai wakil rakyat masih sedang dibayar oleh kerajaan?,” soal  Rayer dalam sidang Dewan Rakyat semalam seperti laporan media.

Sebelum ini, peguam kepada bekas Presiden Umno itu, Mohamed Shafee Abdullah mahu memfailkan tindakan undang-undang untuk membolehkan Najib hadir ke Dewan Rakyat.

Ia susulan tindakan penjara tidak membenarkan Najib hadir ke Parlimen untuk mengikuti perbahasan.

Dalam perkembangan terbaharu semalam, media melaporkan semakan kehakiman telah difailkan
di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh peguam Najib  untuk  Najib mempunyai akses kepada pegawai parlimennya supaya dia boleh menjalankan tugasnya sebagai ahli parlimen, dan kedua, untuk dia menghadiri sidang parlimen pada tarikh yang dijadualkan,

Status Najib sebagai Ahli Dewan diperdebatkan sebelum ini apabila Azhar memaklumkan status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan, kekal buat masa ini sehingga proses permohonan pengampunannya selesai.

Beberapa Ahli Parlimen pula menegaskan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, jelas Najib sudah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Adakah Najib masih dibayar elaun, soal Rayer
Sementara itu Rayer turut membangkitkan tentang dakwaan yang tular mengatakan pengekalan status Najib adalah rancangan Barisan Nasional (BN) supaya apabila parti itu memenangi pilihan raya, mereka boleh membebaskan Najib dan dibenarkan kembali datang ke Dewan.

“Saya tanya perkara ini di Dewan Rakyat kerana ada berita tengah tular bahawa ini perancangan kerajaan sekarang untuk mengekalkan taraf beliau sebagai seorang Ahli Parlimen dengan harapan kalau BN memenangi pilihan raya nanti, beliau akan mendapat pengampunan dan dibenarkan kembali di Dewan rakyat. Boleh disahkan?,” soalnya lagi.

Post a Comment

0 Comments