Zahid Hamidi terima suapan untuk diri sendiri - Pendakwaan


MAHKAMAH TINGGI Kuala Lumpur semalam diberitahu bahawa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah menerima suapan untuk dirinya sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Abdul Malik Ayob dipetik laporan Bernama berkata sumbangan diserahkan pegawai Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada Ahmad Zahid adalah secara peribadi dan tidak pernah dibayar ke dalam akaun Umno walaupun bayaran itu dikatakan untuk sumbangan politik.

“Walaupun pihak pembelaan berkata wang itu adalah sumbangan politik, ia tidak dibayar kepada parti politiknya.

“UKSB juga tidak pernah membayar wang itu ke dalam akaun UMNO atau menerima resit daripada pembayaran itu. Tertuduh (Zahid) juga tidak pernah menolak atau menyerahkan wang itu semula apabila wang itu diserahkan kepadanya,” kata Abdul Malik dalam hujahnya di akhir kes pendakwaan.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Sementara itu dalam hujahannya, Abdul Malik turut menegaskan bahawa keterangan daripada tiga saksi utama termasuk dua bekas Pengarah UKSB iaitu Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun adalah konsisten berhubung penyerahan wang itu kepada Ahmad Zahid.

“Harry Lee dan Wan Quoris Shah bersetuju ketika memberi keterangan bahawa tertuduh tidak pernah menyatakan jumlah wang yang akan disumbangkan, hanya tertuduh menyatakan bahawa sumbangan itu mesti dibuat secara tunai dan dalam mata wang dolar Singapura.

Keterangan 3 saksi utama konsisten


“Mereka juga bersetuju penghantaran wang itu dilakukan di Country Heights, Kajang atau Seri Satria, Putrajaya dan penyerahan dilakukan pada waktu malam selepas 10 malam. Mereka juga dapat menggambarkan kediaman peribadi atau rasmi tertuduh yang penghantaran dilakukan di kediaman itu,” katanya.


Pendakwaan akan menyambung hujahan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa hari ini.

Post a Comment

0 Comments