Mahu jadi 'king maker' lagi, Anwar sifatkan pendekatan PAS bahaya


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pendekatan PAS yang sekali lagi menyasarkan menjadi 'king maker' pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tegasnya, langkah itu dilihat sebagai satu pendekatan berbahaya apabila mereka kemudiannya boleh mengugut kerajaan bagi mendapatkan jawatan menteri sekiranya mahukan sokongan.
 
"Itu satu pendekatan merbahaya kerana akan memberikan ugutan. Umpamanya (dengan menjadi) 'king maker', maknanya kami (PAS) nak scam (jawatan) menteri, kami nak scam kedudukan seperti mana berlaku sekarang

"Yang kita nak ialah parti yang kemukakan dasar yang jelas," kata Ketua Pembangkang itu kepada pemberita di sebuah  majlis di Parlimen semalam.

PAS memenangi 17 kerusi Parlimen pada PRU lalu, walau bagaimanapun parti pembangkang itu menjadi sebahagian kerajaan setelah bersetuju memberi sokongan kepada Mahiaddin Md Yassin yang mengambil alih pentadbiran negara melalui 'langkah Sheraton'.

Beberapa pemimpin PAS kemudian dilantik sebagai menteri, dengan Presidennya, Abdul Hadi Awang diberi jawatan Duta Khas bertaraf menteri.

Pada Ahad, Pengarah Pilihan Raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor berkata partinya menumpukan pada 80 kerusi parlimen yang akan ditandingi pada PRU ke-15, PAS menyasarkan kemenangan sekurang-kurangnya di 40 kerusi.

Membandingkan situasi itu dengan sekarang,  Muhammad Sanusi berkata dengan 17 ahli parlimen ketika ini, PAS mempunyai tiga menteri dan lapan timbalan menteri.

PAS kata Menteri Besar Kedah itu akan mempunyai lebih banyak pengaruh sekiranya mempunyai 40 kerusi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, parti politik seharusnya mempunyai dasar yang menyasarkan untuk menangani rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta isu ekonomi.

Apakah PAS hanya mahu kejar jawatan?


"Hal-hal ini bagi saya lagi utama. Kalau cakap soal slogan, sama ada (parti) Islam atau 'king maker', sepatutnya kita tengok hal kegiatan perjudian, di bawah kerajaan sekarang yang PAS sertai dengan beberapa menteri kanan, lebih parah berbanding dulu.


"Selain tu ialah soal ekonomi, pengangguran, kemiskinan," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments