RAYUAN Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang mendakwa beliau melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu ditolak Mahkamah Rayuan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusan sebulat suara berkata mereka bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa isu kesahihan dan kesahan kontrak di antara bekas Naib Presiden KEADILAN itu hanya boleh ditentukan melalui perbicaraan penuh.
“Mahkamah perlu mendengar keterangan penuh secara berdokumen mahupun lisan (viva voce) sebelum keputusan dibuat.
“Kami tidak mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam memutuskan isu yang dibangkitkan melalui saman ini yang dirasakan adalah tidak wajar untuk dipertimbang bagi permohonan ini.
“Justeru, rayuan ini ditolak dengan kos RM10,000 dan keputusan Mahkamah Tinggi adalah dikekalkan,” kata Vazeer ketika menyampaikan keputusan itu melalui telesidang hari ini.
Turut bersidang Datuk M.Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya.
Pernyataan tuntutan oleh parti itu mendakwa Zuraida, telah menandatangani bon itu pada 25 April 2018 yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.
Parti itu turut berkata, Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Sebagai rekod, Zuraida merupakan antara ahli parlimen KEADILAN yang meninggalkan parti itu dalam peristiwa 'Langkah Sheraton' pada Febuari 2020 yang menyaksikan kerajaan pilihan rakyat pada PRU lalu ditumbangkan.
Mereka bersekongkol dengan sebahagian besar wakil rakyat Bersatu mengadakan kerjasama dengan parti Umno yang dikalahkan dan PAS serta beberapa wakil rakyat dari parti lain untuk menjadi kerajaan.
Selepas meninggalkan KEADILAN, Zuraida kemudian menyertai parti Bersatu sebelum sekali lagi 'melompat' ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang ditubuhkan dengan sebahagian besar ahlinya dipercayai dari kumpulan penyokong Azmin Ali yang merupakan sekutu utama Zuraida ketika bersama KEADILAN.
Bagi penyokong KEADILAN, Zuraida dan Azmin yang merupakan bekas timbalan Presiden KEADILAN dianggap sebagai 'pengkhianat' kepada parti itu susulan tindak tanduk mereka.Zuraida didakwa langgar Bon ditandatanganinya
Dalam tuntutan saman mereka juga, KEADILAN dilapor turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
0 Comments