Mat Sabu sifatkan PAS ada masalah keyakinan diri

 


PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah), Mohammad Sabu menganggap PAS mempunyai masalah keyakinan diri sehingga terpaksa bergantung kepada Parti lain demi survival politik mereka.

Bekas Menteri Pertahanan itu yang dipetik laporan Utusan berkata begitu sebagai merujuk tindakan PAS yang bekerjasama dengan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui Perikatan Nasional (PN) dan dalam masa sama cuba berbaik-baik semula dengan Umno yang merupakan musuh kepada Bersatu melalui Muafakat Nasional.  

Bercakap selepas menghadiri Majlis Fundraising Jamuan Laksa Menuju PRU 15 di Kota Bharu semalam, Mohammad berkata, situasi itu dapat dilihat apabila pendirian PAS yang sering berubah-ubah ketika ini.

“Buat masa ini saya tidak nampak Muafakat Nasional (MN) dapat diselamatkan. Bagaimanapun itu semua hak Pas dan UMNO untuk menentukannya.

“Di mata Pakatan Harapan (HARAPAN) kita tidak nampak bagaimana MN dapat diselamatkan,” katanya dipetik.

Bersatu dianggap sebagai parti serpihan Umno yang kedua-duanya berideologikan perjuangan orang Melayu. Walaupun kedua-duanya berada dalam kerajaan yang sama, namun kedua-dua parti itu saling bersaing antara satu sama lain.
 
Seorang pemimpin PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam satu laporan media pada Sabtu menyifatkan hubungan partinya MN dan PN diibaratkan sebagai berkahwin dua. dengan parti itu bertindak sebagai 'suami'.

Sementara itu, Mohammad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mendakwa tindak tanduk PAS telah meyebabkan penyokong teras mereka semakin berkurang.

Mat Sabu dakwa PAS hilang sokongan teras
“Kita dapat lihat banyak antara ketua-ketua cawangan PAS kini telah mula menghadiri program-program anjuran HARAPAN. Jadi saya yakin akan berlaku perubahan di Kelantan.

“Kekuatan Amanah juga semakin bertambah di negeri ini dan kita berasa lebih yakin apabila bersama-sama rakan-rakan dari KEADILAN dan DAP,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments