Oleh: RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH |Sikap berdolak dalih dan munafik Pas terselah dengan isu konsert Riuh Sokmo di Ketereh, Kelantan baru baru ini.
Konsert Riuh Sokmo yang diadakan dari 16 September hingga 18 September telah menerima banyak kecaman dan teguran masyarakat tempatan Kelantan sendiri tetapi dalam 3 hari tersebut tiada sebarang tindakan di ambil oleh kerajaan Pas Kelantan yang selama ini menyekolahkan seluruh dunia tentang isu moral dan sikap liberal dan sebagainya.
Menteri Hal Ehwal Agama, Idris Ahmad dari Pas telah menyatakan isu tersebut di luar bidang kuasa beliau dan terpulang pada kerajaan Pas Kelantan untuk mengambil tindakan jika ada pelanggaran undang-undang oleh konsert tersebut.
Menteri Agama dari Pas ini dan kerajaan Pas Kelantan berselindung di sebalik alasan bidang kuasa dan teknikal undang undang dalam isu di Kelantan, tetapi apabila acara konsert atau hiburan oleh pihak selain dari Pas di adakan, riuh rendah isu moral, liberal dan LGBT di gembar-gemburkan bak kan hendak kiamat dunia ini.
Apabila perlu berdolak dalih kelemahan diri sendiri, Pas munggunakan alasan undang-undang sivil yang dahulu dikecam dikatakan peninggalan penjajah.
Tetapi apabila menyerang pihak lain, Pas berhujah atas isu moral dan undang-undang Islam menunjukkan pendiriannya secara terpilih kepentingan diri yang tidak konsisten.
Semasa orang lain diserang Pas bercakap atas isu “moral” tetapi bukan perundangan.
Kenapa dalam isu Konsert Riuh Sokmo Kelantan tiada pimpinan utama Ulama Pas bercakap tentang isu moral Islam seperti mereka biasa sekolahkan dan mengecam pihak lain?
Sekarang mereka berselindung dengan alasan undang-undang dan telah lupa bercakap tentang isu “moral” kali ini apabila kena atas batang hidung sendiri.
Walaupun acara lain tidak melanggar peraturan dan undang-undang tempatan, Pas mengherdik dan mengecam semua pihak tentang isu moral, akhlak dan liberalisma.
Adakah Pas “berpuas hati” konsert Riuh Sokmo Kelantan yang dikecam oleh penduduk tempatan, menepati piawaian KPI moral Islam ala Pas dan tiada unsur liberalisma yang Pas mengecam selama ini?
Atau adakah konsert ini menjadi “suci” kerana berlangsung di bawah negeri Pas Kelantan yang memiliki bandar digelar Serambi Mekah.
Atau adakah kerana Negara Arab telah meng-liberalkan peraturan dengan membenarkan konsert artis barat kontroversi yang dulu dikira tidak bermoral, maka Pas menurut jejak mereka menjadi liberal juga?
Baru baru ini, Pas mengecam kemasukan konsert kumpulan artis asing barat dengan ugutan untuk berdemonstrasi tetapi senyap sepi menjadi ulama bisu apabila konsert yang dikecam oleh orang tempatan sendiri diadakan di Negeri Pas yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah.
Sama jugalah dalam isu judi di mana dahulu Pas menentang begitu lantang tetapi setelah menjadi kerajaan, mereka menaikan cabutan judi dari 8 (semasa Kerajaan HARAPAN dahulu) kepada 22 semasa Kerajaan PN yang di sertai Pas.
Tuduhan fitnah oleh Pas dari Ustaz Dusuki kononnya kerajaan HARAPAN menjual aset Tabung Haji pada orang Cina juga telah terbukti salah apabila mahkamah menolak saman fitnah Dusuki terhadap Dr Mujahid dan mengarahkan bayaran kos kepada YB Datuk Mujahid.
Tohmahan tersebut adalah antara cara digunakan Pas untuk menutup kejayaan pihak HARAPAN menjaga Islam selain dari mengurangkan judi yang Pas menambah naik semula.
Isu moral Pas dalam hal konsert dan judi hanya dikenakan kepada pihak lain tetapi menjadi suci apabila dilaksanakan oleh kerajaan Pas di bawah pengawasan Menteri Agama Pas.
Pas tidak layak menjadi “Moral Police” atau pengawas moral, dengan sikap “double standard” mereka yang boleh mensucikan apa yang mereka dahulu haramkan apabila mereka mempunyai kepentingan dan kuasa.PAS tak layak jadi pengawas moral, kata Raja Bahrin
Janganlah menyalahgunakan dan memperalatkan Islam jika Pas sendiri tidak boleh berlaku adil dan kini mensucikan perkara yang dahulu mereka sendiri haramkan apabila telah mempunyai kepentingan dan kuasa.
Itu sifat munafik namanya.
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH ialah Arkitek terkemuka, bekas Timbalan Menteri, Pengerusi Amanah dan Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu.
Artikel ini pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia.
0 Comments