Abdul Hadi makin melalut, dah tak layak jadi pemimpin - Aziz Bari


SEORANG wakil rakyat mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) membidas kenyataan terbaharu  Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa ramai di kalangan pimpinan HARAPAN 'tidak beriman dan tidak bermoral'

Abdul Aziz Bari yang merupakan bekas pensyarah undang-undang dan pakar perlembagaan itu berkata, kenyataan terbaharu Abdul Hadi jelas menunjukkan dia semakin tidak konsisten dan tidak ada prinsip.

"Kenyataan ini ( Hadi) ini seolah-olah mengkafirkan pemimpin HARAPAN. Dulu dia kafirkan orang Umno sekarang dia kafirkan orang HARAPAN pula.

"Sedangkan HARAPAN ini pada asasnya adalah PR (Pakatan Rakyat) yang dia sendiri ikut dulu.

"Apa pun orang seperti ini tidak layak jadi pemimpin politik di Malaysia," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Abdul Hadi sebelum ini dikritik susulan kenyataannya bahawa pengamal rasuah majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera.

Golongan itu katanya menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

Dalam kenyataan terbaharunya yang dipetik media Abdul Hadi berkata "Ramai dalam kalangan HARAPAN yang tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Abdul Hadi melalui catatan Minda Presiden PAS juga dipetik berkata, paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga),"

Untuk rekod, selepas PAS menyertai kerajaan Mahiaddin Yassin yang 'merampas' mandat rakyat sekaligus menumbangkan kerajaan HARAPAN melalui 'langkah Sheraton' Abdul Hadi sendiri dianugerahkan jawatan sebagai Duta Khas kepada Perdana Menteri. Beberapa Ahli Parlimen PAS mendapat manfaat jawatan menteri susulan 'kerjasama' menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat itu.

Sementara itu Abdul Aziz menegaskan sebagai pemimpin politik, seseorang itu perlu bersikap inklusif.

"Islam tidak meminta kita mengambil sikap sedemikian. Ini menimbulkan persoalan apakah jenis Islam yang dibawa oleh PAS.

"Yang pasti ialah PAS berkawan dengan mereka yang mereka kafirkan satu ketika dulu termasuk Umno dan MCA

"Dalam konteks ini PAS jelas tidak konsisten, tidak ada prinsip," katanya sambil menambah bahawa PAS juga sudah melupakan prinsip asas parti itu termasuk pendirian kebanyakan pimpinan PAS dahulu termasuk Nik Aziz (Nik Mat) dan Fadhil Noor yang tidak menerima parti itu 'berkawan' dengan Umno.

Abdul Hadi nak 'kafirkan' pemimpin HARAPAN?


Untuk rekod, PAS pada 2019 bekerjasama dengan musuh tradisinya, Umno di bawah semangat 'perpaduan ummah' atas nama Muafakat Nasional, namun pada 2020, PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Mahiaddin melalui Bersatu, parti yang berseteru dengan Umno.

Hadi pada April 1981 menerusi apa yang disebut sebagai Amanat Haji Hadi telah mengkafirkan Umno sehingga menyaksikan orang Melayu ketika itu berpecah-belah. Antara kemuncak tindakan itu menyaksikan berlaku sembahyang dua imam dalam masjid sama, pemulauan majlis keraian atau kenduri, perceraian pasangan suami isteri dan penolakan sembelihan.

Post a Comment

0 Comments