Umno gesa segera adakan PRU pun salah DAP?


SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke kesal apabila parti itu dipersalah susulan gesaan pembubaran Parliem.

Dipetik laporan media, beliau menegaskan bahawa tidak mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenan pembubaran Parlimen seperti didakwa terhadapnya

“Saya tak pernah mempertikaikan bahawa kuasa untuk memperkenankan pembubaran Parlimen ialah Yang Di-Pertuan Agong. Ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Yang tekan perdana menteri untuk bubarkan Parlimen ialah pemimpin Umno, yang disalahkan pula ialah DAP! Ini pun salah DAP?,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa DAP tidak menghormati Agong.

Sebagai rekod, beberapa pemimpin utama Umno sejak beberapa bulan lalu mendesak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dalam laporan media pada Mac lalu berkata,  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat Julai nanti.

Ini jelasnya kerana faktor 'feel good' yang dirasai rakyat dengan mereka kembali menyokong BN perlu diambil kesempatan.

Manakala bekas perdana menteri, Najib Razak pula UMNO dan sekutu mereka dalam Barisan Nasional (BN) akan berdepan “risiko besar” jika PRU15 ditangguhkan untuk tempoh lebih lama.

Loke sementara itu berkata, pihaknya tidak pernah meminta agar perdana menteri menyebut tarikh pembubaran sebaliknya mempersoal tindakan beliau memberikan kenyataan dan mesej yang tidak konsisten berhubung tarikh PRU15.

“Saya rasa kenyataan perdana menteri hari ini sebenarnya dituju kepada pemimpin Umno yang tekan dia untuk bubar Parlimen.

“Cuma beliau tidak boleh sebut orang Umno tak hormat Agong jadi DAP menjadi mangsa kepada pertelingkahan dalaman Umno,” katanya.

Ismail Sabri kena konsisten, jangan suka flip-flop
Terdahulu Loke di Facebook sebelum ini berkata, perdana menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya berkaitan tarikh pilihan raya.

Katanya, kenyataan dan mesej yang ‘flip-flop’ hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.

Post a Comment

0 Comments