SEORANG Ahli Parlimen mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa supaya gesaan agar Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dihentikan.
Datuk Seri Salahuddin Ayub yang dipetik laporan Sinar berkata, PRU dalam masa bukan kehendak rakyat yang sedang dihimpit pelbagai masalah dan polimik mengenainya hanya akan menambah keresahan rakyat.
“Polemik ini tidak wajar dipanjangkan dan diteruskan kerana keresahan rakyat yang utama pada ketika ini adalah soal mencari sesuap nasi, menjelaskan hutang dan bebanan kewangan serta harga barangan yang mencanak naik dan merisaukan peniaga-peniaga kecil serta pengguna,” katanya pada Selasa.
Ramai pemimpin politik terutama dari Umno kebelakangan ini menggesa agar PRU dapat diadakan dengan segera.
Namun dalam keadaan harga barang gagal dikawal, jaminan makanan dan bekalan tidak mencukupi, gesaan itu dikritik banyak pihak terutama pemimpin HARAPAN yang mahu kerajaan memfokuskan kepada menyelesaikan masalah dihadapi rakyat terlebih dahulu.
Sementara itu Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, mengadakan PRU dalam waktu terdekat akan menelan perbelanjaan sehingga ratusan juta ringgit.
“Adalah lebih baik sekiranya wang negara digunakan untuk manfaat rakyat yang sedang dihimpit kesusahan, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
Awal Jun lalu, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali turut mengkritik gesaan supaya PRU diadakan segera.
Tegasnya, kerajaan perlu memberi terhadap isu kejatuhan mata wang negara dan inflasi yang memberi kesan kepada seluruh masyarakat negara ini.
![]() |
Utamakan isu rakyat dulu, bukan PRU |
"Kerajaan hari ini boleh sahaja meluluskan apa-apa rang undang-undang bertujuan untuk kepentingan masyarakat dan negara. Jadi, saya tidak nampak mengapa perlunya ada pilihan raya umum," katanya dipetik.