PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak siasatan penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet.
Gesaan itu selepas kedua-dua syarikat itu terkait urusan mencurigakan bagi memperoleh kontrak daripada kerajaan.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, kontroversi melibatkan dua syarikat itu mengugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dalam mengurus isu-isu penyelewengan dan kepincangan.
“Saya mengikuti perkembangan melibatkan isu dua syarikat iaitu Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet mutakhir ini.
“Ini setelah sebuah agensi buruh di Dhaka menuduh pengasas Bestinet, Mohd Amin Abdul Nor mempengaruhi kerajaan untuk menghadkan bilangan agensi yang membekalkan buruh kepada 25 syarikat sahaja.
“Isu sebesar ini semestinya menuntut tindakan yang tuntas dan pantas, terutama daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kerana ia melibatkan nama menteri dan mantan menteri yang berkaitan, dari Perdana Menteri dan juga Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan),” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, perkara itu pernah disuarakan olehnya di Parlimen sebagai penghambaan moden.
Ia mustahak diselesaikan kerana ia melibatkan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa serta tekad dan iltizam negera dalam menghentikan kebobrokan.
"Pekerja diperas sementara pedagang dan agen bertindak sebagai penindas yang mengaut keuntungan besar," katanya lagi.
UKSB syarikat yang menguruskan Visa Luar Negara (VLN) dan pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China, disebut dalam perbicaraan melibatkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan memberi keterangan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima RM1.3 juta melalui tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Jul dan 23 Ogos 2018, bagaimanapun ia dinafikan bekas perdana menteri itu.
Selain Muhyiddin, nama Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Seri Shafie Apdal turut direkodkan dalam lejar pembayaran UKSB.
![]() |
Anwar mahu siasatan penuh dilakukan |
Ia bagaimanapun dinafikan Saravanan.
0 Comments