SPRM tak siasat nama ‘pemimpin tinggi’ dalam lejar UKSB?

SEORANG peguam terkenal mempersoalkan apakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tidak melakukan siasatan terhadap kes membabitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada 2018 dengan teliti.

Merujuk kandungan buku lejar syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang didakwa menerima wang dari syarikat berkaitan urusan pekerja asing itu, Haniff Khatri Abdulla membangkitkan persoalan tersebut apatah lagi buku lejar mengandungi nama individu berpengaruh itu dianggap sebagai barang kes penting.

“Bukankah pihak pendakwa raya sendiri telah menampilkan buku lejar UKSB (yang dikatakan mengandungi nama pemimpin lain yang menerima wang daripada UKSB) semasa soal utama saksi pendakwaan ke-17, David Tan?

“Maka, bukankah ini bermaksud buku lejar UKSB itu adalah antara barang kes yang sudah lama diperoleh SPRM semasa siasatan awal kes ini?

“Isunya adalah, mengapa pihak siasatan SPRM pada masa itu tidak mendalami dan tidak siasat semua nama lain yang ada dalam buku lejar UKSB itu? soal Haniff dalam hantaran di Facebook.

Haniff Khatri Abdulla berkata, saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu, David Tan, sudah pasti menyerahkan buku lejar terbabit kepada SPRM sebagai barang kes semasa siasatan awal dilaksanakan.

Tan, bekas pengurus pentadbiran UKSB  memberitahu mahkamah pada minggu lalu, bahawa beliau menyimpan lejar pembayaran dibuat kepada Zahid antara 2014 dan 2018 dalam komputer riba miliknya.

Komputer riba miliknya mengandungi buku lejar merangkumui senarai penerima bayaran membabitkan “menteri, ahli politik dan penjawat awam”. selain salinan pendua disimpan dalam pemacu pena USB, dirampas SPRM, pada Oktober 2018.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal, bekas menteri luar Anifah Aman dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, merupakan antara penerima dana daripada UKSB.

Menurut Tan pembayaran kepada Muhyiddin dibuat antara Jun dan Ogos 2018. Nama lain disebut dalam perbicaraan itu turut membabitkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

“Adakah SPRM akan menyiasat SPRM sendiri di atas pengakuan sukarela SPRM sendiri bahawa buku lejar yang ada dengan saksi pendakwaan ke-17 sejak awal siasatan, tidak disiasat berhubung semua nama pemimpin politik lain yang telah menerima wang daripada UKSB?" soal Haniff lagi.

Adakah SPRM tak siasat individu dalam lejar?
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN), serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu kepada syarikat sama oleh kementerian berkenaan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid dituduh sebagai menteri dalam negeri menerima untuk dirinya SGD1,150,000, RM3 juta, €15,000 dan USD15,000 dalam bentuk wang tunai daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Post a Comment

0 Comments