Tangani isu makanan sebelum rakyat berdepan masalah malnutrisi



PENTADBIRAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk segera membentangkan rancangan jaminan keselamatan makanan.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran susulan penutupan sementara beberapa ladang ternakan ayam serta penjual yang menimbang untuk mangadakan mogok.

"Di Ipoh, ketika saya ke pasar, saya jumpa penjual yang berkata mereka akan mogok kerana tidak dapat untung selepas penetapan harga siling RM8.90 per kilogram oleh kerajaan.

"Mereka kata harga itu tidak wajar kerana ia bersamaan dengan harga kos mereka dan maka tidak munasabah untuk mereka berniaga.

"Maka, kerajaan perlu bertindak segera dan memberikan subsidi dengan segera memandangkan keselamatan makanan adalah isu amat penting. Ia tidak boleh ditangguh hanya kerana menteri tidak cekap," katanya dalam kenyataan.

Bekas menteri sumber manusia itu sebelumnya mengulas laporan mengenai krisis bekalan daging ayam yang tidak mencukupi sehingga menyebabkan harga naik mendadak sehingga menyukarkan golongan pengguna dan peniaga hujung minggu lalu.
 
"Kerajaan juga patut tahu yang ekoran perkembangan di peringkat global, kita juga akan merasa kesan kekurangan bekalan makanan tak lama lagi. Jadi apa rancangan kerajaan?

"Perlu ada mekanisme untuk menangani perkara ini. Kita terlalu bergantung kepada makanan dari luar negara dengan jumlah RM50 bilion setahun," katanya sambil menggesa Ismail Sabri untuk campur tangan dan bertindak segera sebelum keadaan memburuk.

Bertindak sebelm keadaan makin tak terkawal
Katanya, di sebalik keadaan negara yang memiliki cukup tanah dan cuaca yang baik untuk agrikultur, serta potensi pertanian bandar dan pertanian vertikal, kerajaan sewajarnya menggalakkan lebih ramai rakyat untuk terlibat dalam pertanian agar negara dapat mengawal dan menjamin bekalan makanan sendiri.

"Mengapa tidak perkenalkan subsidi dan geran untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini, memberi latihan percuma untuk meningkatkan kemahiran dalam pertanian vertikal dan juga memperuntukkan tanah?" soalnya.


"Jika kekurangan bekalan makanan tidak ditangani, rakyat yang berpendapatan rendah akan menerima kesan besar dan ia malah boleh membawa kepada isu malnutrisi," tegasnya lagi.


Post a Comment

0 Comments