SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa kerajan mempercepatkan pengenalan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada suri rumah.
Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata proses itu perlu bagi memastikan suri rumah dapat menerima faedah dan perlindungan melalui skim tersebut.
Gesaan itu disuarakan beliau dengan merujuk kenyataan Menteri Sumber Manusia M Saravanan pada 2021 bahawa tiga juta suri rumah akan menikmati perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Perkeso, yang merupakan inisiatif yang dicetuskan semasa pentadbiran HARAPAN.
“Namun, sehingga hari ini, tiada apa yang dilakukan.
“Saya menyeru perdana menteri untuk mempercepatkan pengenalan liputan Perkeso kepada semua ibu di negara ini.
“Semasa pentadbiran HARAPAN, draf perundangan telah disiapkan dan akan meliputi berjuta-juta suri rumah.
“Saya boleh katakan bahawa jika HARAPAN masih dalam kerajaan, perlindungan dan faedah ini akan sampai kepada semua suri rumah dan ibu,” katanya dalam satu kenyataan semalam sempena sambutan hari ibu.
Tegasnya, kerajaan harus menyediakan perlindungan kepada suri rumah dan ibu kerana "ibu adalah anugerah terhebat kepada manusia".
Sebaliknya kata Kulasegaran, ketika kerajaan diharap segera melaksana inisiatif itu, mereka mengambil suikap berdiam diri.
Mengimbau kembali mendiang ibunya sendiri, Kulasegaran, yang merupakan bekas menteri sumber manusia, berkata dia tidak akan melupakan pengorbanan yang dilakukan ibunya untuk dirinya dan adik-beradiknya.
![]() |
Inisiatif dicetuskan pentadbiran HARAPAN |
“Saya tidak akan pernah tahu kesusahan yang terpaksa dia tanggung untuk keluarga, dia banyak berkorban untuk masa depan anak-anaknya.
“Negara kita akan lebih baik jika meraikan dan melindungi semua ibu. Beri mereka keselamatan yang sepatutnya anda berikan kepada mereka beberapa tahun lalu,” katanya.
0 Comments