AHLI PARLIMEN Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memulakan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali hanya berdasarkan dakwaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin.
Dipetik laporan Malaysiadateline, Ngeh, jurucakap undang-undang dan Parlimen mewakili Ahli Parlimen DAP berpendapat kredibiliti Raja Petra diragui untuk SPRM membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan.
Malah, tegasnya bukti-bukti untuk mengesahkan dakwaan raja Petra wujudnya wang RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun Mohd Nazlan itu perlu ditampilkan.
“Jika laporan dibuat kepada SPRM berdasarkan tulisan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang diragui kredibilitinya dalam portal Malaysia Today, laporan tersebut adalah khabar angin semata- mata.
“Raja Petra Kamaruddin mesti tampil membuat laporan dan memberikan bukti-bukti untuk mengesahkan dakwaannya.
“Jika Raja Petra Kamaruddin tidak berani tampil membuat laporan, beliau adalah seorang yang tiada kredibiliti," kata Ngeh.
Pada 20 April lalu, Raja Petra mendakwa Mohd Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang melibatkan Najib.
Menurutnya, Mohd. Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaun.
Ekoran itu, Mohd Nazlan pda 21 April membuat laporan polis menafikan tuduhan tersebut.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya menerusi kenyataannya menegaskan artikel ditulis oleh RPK, ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ adalah palsu dan tidak berasas.
Ia juga berniat jahat bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohd Nazlan sebagai seorang Hakim Mahkamah Rayuan serta mengganggu sistem keadilan serta institusi kehakiman.
“Jika SPRM mengikut membuta tuli mendakwa orang yang kredibiliti diragui, ia menunjukkan dengan jelas kekurangan profesionalisme dan juga ketidakcekapan SPRM,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ngeh berpendapat SPRM telah melakukan kesalahan mengugut Badan Kehakiman jika ia tidak mempunyai syak wasangka yang munasabah atau tidak menerima sebarang maklumat yang boleh dipercayai bahawa suatu kesalahan telah dilakukan apabila ia memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan.
Tegasnya, sesuatu siasatan hanya boleh dimulakan jika wujud syak wasangka atau maklumat yang diterima bahawa suatu kesalahan telah dilakukan.
Namun, tegasnya, jika hanya mengikut laporan yang dibuat kepada pihak berkuasa semata-mata tanpa syak wasangka, SPRM telah melakukan satu kesalahan.
“Ujian untuk memulakan sesuatu penyiasatan ialah ‘jika wujud syak wasangka yang munasabah atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima bahawa suatu kesalahan telah dilakukan’ dan bukannya ‘apabila suatu laporan telah dibuat kepada pihak berkuasa," tegasnya lagi.
Beliau juga mengkritik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung siasatan yang menjejaskan kedudukan badan kehakiman.
“Tindakan terhadap seseorang hakim mestilah berdasarkan bukti konkrit yang dikumpul dan diserahkan kepada pihak yang berkenaan untuk diambil tindakan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
![]() |
Siasatan hanya dijalankan jika ada bukti konkrit |
“Pandangan beliau jelas salah dari segi undang-undang. Undang-undang membenarkan sesuatu penyiasatan dimulakan apabila terdapat syak wasangka yang munasabah atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima bahawa suatu kesalahan telah dilakukan,” kata bekas Speaker DUN Perak itu lagi.
0 Comments