NAIB Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN), Salahuddin Ayub menyelar kenyataan Presiden PAS yang menyindir idea kerjasama politik melalui ‘khemah besar’.
Secara sinis Salahuddin berkata, PAS yang dipimpin Abdul Hadi Awang mungkin tidak selesa berada di dalam ‘khemah besar’ pembangkang sebaliknya lebih selesa berada di dalam hutan rimba dan berkawan dengan ular, biawak dan monyet.
"Biarlah PAS, kalau dia tidak mahu. Mungkin PAS lebih selesa nak berkawan dengan ular, biawak dan monyet.
"PAS tak selesa dalam khemah. Mungkin dia minat di hutan rimba," kata Salahuddin dipetik Malaysiakini sambil menegaskan pendirian itu tidak menjejaskan HARAPAN.
Idea kerjasama ‘khemah besar’ gabungan parti pembangkang disuarakan beberapa pemimpin HARAPAN dalam memastikan situasi satu lawan satu dengan BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang tercapai.
Abdul Hadi ketika ditanya pemberita sama ada PAS berminat menyertai kerjasama itu menegaskan parti itu enggan bersama dengan penghuni khemah besar yang diumpamakan sebagai tikus dan kucing yang boleh bercakaran antara satu lain.
“PAS ada kumpulan sendiri dan kita masih terus melaksanakan agenda perpaduan ummah.
“Kita tidak ikut khemah besar kerana di dalamnya ada tikus, kucing dan macam-macam," katanya.
![]() |
Salahuddin balas sindiran Abdul Hadi |
Hubungan kedua-dua parti diburukkan lagi dengan kemunculan dokumen ‘PASleak’ yang didakwa cuba mempengaruhi mahkamah untuk mempercepatkan hukuman terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.